MySalam: Menteri Kewangan, Setiausaha Politik… “Jangan Elak Atau Lari, Sila Jawab!” – Dr Wee

KUALA LUMPUR, 20 Feb – “YB (Yang Berhormat) Menteri Kewangan dan Setiausaha Politiknya, jangan elak atau lari, sila jawab!”

Demikian penegasan yang diberikan oleh Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dalam satu hantaran di Facebook, membangkitkan persoalan mengenai Program mySalam kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Bila saya membangkitkan persoalan tentang mySalam, saya memang telah membuat kajian mendalam mengenai skim ini.

“Saya bukannya ‘main hentam’ saja.

“Maka, dengan ini saya mengemukakan beberapa lagi kemusykilan mengenai skim mySalam untuk dijawab oleh YB Lim Guan Eng dan YB Tony Pua,” tegasnya.

Berikut merupakan tujuh soalan yang dibangkitkan oleh Dr Wee, juga selaku Ahli Parlimen Ayer Hitam.

1. Kenapa Program mySalam dikurniakan kepada Syarikat Great Eastern tanpa tender terbuka? Bukankah kata Lim Guan Eng semua tender projek mega akan dibuat secara tender terbuka?

Projek RM2 bilion yang diumumkan oleh Lim Guan Eng bukan satu angka yang kecil, tahu?

2. Apakah hasil penilaian bebas (independent assessment) yang dibuat mengenai mySalam seperti tertera di dalam jawapan Menteri Kewangan kepada saya di Kamar Khas Dewan Rakyat bertarikh 19 November 2019?

3. Adakah RM2 bilion telah dibayar kepada kerajaan oleh syarikat induk Great Eastern di Singapura untuk pengecualian syarat had pemilikan asing 70%?

4. Berapakah premium insuran yang telah dibayar kepada Great Eastern Takaful Berhad (GETB) pada tahun 2019 dan 2020?

5. Menurut YB Tony Pua, syarikat Great Eastern tidak akan mengaut keuntungan daripada skim mySalam kerana sebarang lebihan akan dikembalikan kepada Tabung Amanah mySalam atau Kementerian Kewangan.

Saya hanya ingin bertanya, adakah ini bermaksud bahawa tiada sebarang kos ataupun caj yang akan dikenakan oleh Great Eastern Takaful untuk mengendalikan skim ini?

Adakah skim ini dijalankan secara percuma dan tiada ‘administration fees’ (wakala)? Kalau bukan percuma, berapakah ‘wakala’ yang dibayar?

6. Saya ingin menekankan bahawa Dokumen Dasar Bank Negara dan Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (FSA) khususnya:

Seksyen 82(c) & 83(c) FSA dan perenggan 13.4 & 13.10 di dalam Dokumen Dasar ‘Management of Insurance Funds’ (MIF) serta Perenggan 10.9(a) Dokumen Dasar Laporan Kewangan sudah cukup menjelaskan perkara mengenai ‘participating funds’ dan implikasinya. (Rujuk lampiran yang saya sertakan).

Saya tidak syak lagi bahawa pemegang polisi ‘participating funds’ mempunyai hak untuk berkongsi dalam sebarang pengeluaran daripada lebihan (surplus) dana tersebut.

Perkongsian ini hanya boleh mengikut nisbah 90:10 di mana pemegang polisi akan mendapat 90%. Nisbah ini bukan ciptaan atau rekaan saya tetapi termaktub di dalam Dokumen Dasar MIF.

Bukan itu sahaja, ‘estate’ dalam ‘participating fund’ GELM yang sekarang ini melebihi RM10 billion diklasifikasikan sebagai ‘Insurans contract liabilities’.

Jadi usah berpura-pura lagi. Jika RM2 billion dikeluarkan daripada lebihan ‘partipating fund’, lebih kurang RM1.8 billion harus dibayar kepada pemegang polisi (mengikut nisbah 90:10).

Sebarang penyelewengan daripada nisbah ini bermaksud pemegang polisi tidak dilayani dengan adil dan tidak mematuhi Dokumen Dasar BNM dan FSA.

Setujukah Lim Guan Eng dan Tony Pua mengenai fakta ini?

7. Saya sudah melihat beberapa kontrak insurans ‘Participating Policies’ Great Eastern. Kandungan kontrak ini jelas menyatakan bahawa pemegang polisi Great Eastern memang mempunyai ‘contingent interest’ ataupun hak untuk berkongsi dalam lebihan ataupun ‘surplus’ dalam Dana insurans hayat.

Adakah hak pemegang polisi Insuran yang merupakan warganegara Malaysia dilindungi?

Saya beri mesej ini untuk YB Lim Guan Eng dan Tony Pua – ‘Melayan Pelanggan Secara Adil’ (Treat Customers Fairly). Prinsip ini boleh didapati di dalam Dokumen Dasar BNM ‘Fair Treatment of Financial Consumers’.

Sebarang penyelewengan syarikat Insurans akan menafikan hak pemegang polisi dan pengalihan hak pemegang polisi kepada pemegang saham syarikat insurans adalah tidak adil dan tidak mengikuti ketetapan Dokumen Dasar ini.

Cukuplah sekadar 7 soalan untuk hari ini. Nak lagi? Tunggu! – UMNO ONLINE