Saksi Pendakwa Nafi Zahid Berjanji Beri Projek MYEG RM50 Juta Selepas PRU 14, Dakwa Diugut SPRM

KUALA LUMPUR, 19 Feb – Saksi pendakwa ke-36, Junaidh Asharab Md. Shariff memberitahu mahkamah, tidak benar bekas menteri dalam negeri itu berjanji untuk memberi projek MYEG berjumlah RM50 juta selepas PRU14.

Beliau memberitahu mahkamah apabila menjawab soalan peguam Hamidi Mohd Noh berhubung keterangan bertulisnya mengenai MYEG.

Menurut Junaith, walaupun beliau berhasrat untuk mendapatkan projek MYEG itu tetapi tidak pernah bercakap mengenainya dengan Ahmad Zahid, bekas menteri dalam negeri.

Pemilik syarikat Berani & Jujur Trading itu turut menafikan bahawa beliau diminta oleh Ahmad Zahid menghantar kertas cadangan projek MYEG yang didakwa dijanjikan selepas pilihanraya ke-14.

Saksi turut menyangkal kenyataan bertulis yang disediakan oleh Pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bahawa Ahmad Zahid memberitahunya, pembayaran dibuat kepada Tetuan Lewis & Co kerana firma guaman itu ialah pemegang amanah bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

“Tidak benar. Saya tidak pernah bercakap dengan Ahmad Zahid mengenai perkara ini,” katanya ketika pemeriksaan balas peguam Ahmad Zahid, Hamidi Mohd. Noh.

Jawapan ahli perniagaan dan pemborong kain itu sekaligus bertentangan dengan kenyataan bertulisnya kepada SPRM pada Ogos 2018 yang dibacakan semula hari ini seleps disahkan sendiri oleh Junaith bahawa itu adalah kenyataan bertulis beliau.

Berikutan kenyataan bercanggah itu pasukan pendakwaan terpaksa meminta mahkamah berhenti rehat kepada Hakim Collin Lawrence Sequerah kerana ingin berbincang sebelum mengemukakan soalan kepada saksi mereka,

Selepas prosiding bersambung, saksi terus ditekan oleh pihak pendakwa berkaitan kenyataannya yang bertentangan dengan keterangan bertulis sehingga menyebabkan saksi mengakui, beliau keliru dengan mahkamah dan soalan peguam.

Walaupun ditanya berkali-kali oleh Timbalan Pendakwa Raya, Gan Peng Kun, Junaith tetap menengaskan bahawa Ahmad Zahid tidak pernah berjanji memberikan beliau projek MyEG seperti yang dicatatkan dalam keterangan bertulis.

Peng Kun juga bertanya adakah jawapan Junaith yang bercanggah itu kerana hubungan baik beliau dengan Ahmad Zahid dan adiknya Datuk Seri Nasaee dan mahu menyelamatkan Ahli Parlimen Bagan Datoh, saksi menjawab tidak.

Ketika disoal balas oleh peguam Ahmad Zahid, Datuk Ahmad Zaidi Zainal, Junaith berkata, keterangan bertulis yang dibuat oleh SPRM oleh pegawai yang berasaingan itu mengambil masa lebih 12 jam.

Beliau berasa tertekan ketika disoal oleh pegawai SPRM hingga ketahap mengugut beliau.

“Saya berada di ibu pejabat SPRM dari pukul 10 pagi sehingga pukul 10 malam. Pukul 4.30 baru rakaman percakapan dibuat. Bukan seorang dua masuk bilik tetapi ramai.

“Selama 12 jam saya disoal dan diasak dan diugut oleh pegawai sudah semestinya saya akan tandangan apa sahaja dalam keadaan tekanan.

“Saya diugut akan dituduh,” kata saksi ketika menjawab soalan Ahmad Zaidi.

Sekali lagi di sini saksi memberitahu mahkamah bahawa memang betul Ahmad Zahid tidak pernah menjanjikan projek MyEG.

Ahmad Zahid berhadapan tuduhan membabitkan 12 dakwaan pecah amanah, lapan kes rasuah dan 27 pengubahan wang haram membabitkan Yayasan Akalbudi.

Bagi lapan tuduhan rasuah, Ahmad Zahid dituduh menerima suapan daripada tiga syarikat termasuk Mastoro Kenny IT Consultant & Services. Syarikat tersebut dibuka oleh M. Kumaraguru atas arahan Junaith.

Mastoro Kenny IT Consultant & Services memberi 13 keping cek yang ditandatangani oleh Kumaraguru atas arahan Junaith untuk diberikan kepada Ahmad Zahid.

.Dalam keterangannya, Junaith memberitahu mahkamah wang yang diberikan tersebut adalah bertujuan untuk digunakan oleh Ahmad Zahid untuk membina masjid dan thafiz.-

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.