PH Perlu Serius Jadi Kerajaan… Urus Hak Rakyat, Bukan Tunduk Kepentingan Pihak Tertentu

KUALA LUMPUR, 19 Feb – Pakatan Harapan (PH) digesa untuk serius sebagai kerajaan khususnya dalam menjaga kepentingan orang Melayu/Islam dan bukan tunduk kepada pihak tertentu, tegas Ketua Pemuda UMNO Negeri Sembilan, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir.

Katanya, jangan cuba menjadikan Tabung Haji sebagai alat politik sebaliknya peliharalah khazanah orang Melayu dan Islam ini supaya ia terus berkembang maju sekali gus memberi manfaat kepada rakyat secara keseluruhannya.

“Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menjaga Hal Ehwal Agama iaitu Datuk Seri Mujahid seharusnya perlu sentiasa memihak kepada umat Islam. Perlu meletakkan kepentingan orang Melayu dan Islam sebagai keutamaan dan bukannya tunduk serta akur kepada pihak berkuasa yang tidak berkepentingan langsung dalam menguruskan perkembangan orang Melayu dan umat Islam di negara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, kerajaan PH khususnya Mujahid perlu memberi penerangan dan menjawab setiap persoalan yang dibangkitkan mengenai isu Tabung Haji ini secara profesional.

“Bukannya secara beremosi kerana yang kita mahu hanyalah untuk merungkai isu dan menyelesaikan masalah ,bukannya mencari masalah.

“Bersangka baiklah di atas setiap teguran dan kritikan. Bukannya terlalu mudah mengadili dan bersangka tidak baik hanya kerana berbeza pandangan politik. Bukankah bersangka baik dan menerima teguran itu adalah sebahagian daripada prinsip Rahmatan Lil Alamin?”

Beliau berkata demikian ekoran bimbang dengan isu Tabung Haji yang masih berlarutan dan terbaru keputusan Tabung Haji untuk menghentikan operasi beberapa hotel miliknya mulai April depan.

“Sudah tentunya, penularan pendedahan itu di media sosial membuktikan betapa rakyat khususnya orang Melayu dan Islam di negara ini marah serta bimbang dengan itu. Apatah lagi, Tabung Haji ini merupakan sebuah syarikat yang sangat dekat di hati rakyat kerana jasa Tabung Haji kepada orang Melayu dan Islam di negara ini begitu besar sekali.

“Mana tidaknya, sepanjang Barisan Nasional (BN) menjadi pentadbir Kerajaan, Tabung Haji ini diuruskan dengan begitu baik sekali. Syarikat ini telah mencipta pelbagai cerita kejayaan iaitu daripada menguruskan jemaah haji hinggalah cerita kejayaannya dalam menguruskan perniagaan secara Islami.

“Tidak pernah kita terfikir selama ini, bahawa prestasi Tabung Haji berada pada paras terendah seperti hari ini. Semuanya bermula sejak PH mengambil alih kerajaan. Lantas, timbul persoalan mampukah PH mentadbir dengan baik? Apakah mereka benar-benar berkemampuan serta layak untuk terus menjadikan Malaysia sebagai negara Islam contoh?”

Justeru, tegas beliau, Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Sembilan menyeru supaya menteri yang bertanggungjawab di dalam urusan Tabung Haji seharusnya bertindak dengan lebih rasional.

“Pantaulah perjalanan perniagaan syarikat yang diusahakan untuk orang Melayu dan umat Islam ini. Janganlah terus mendabik dada dan mencari 1001 alasan yang tidak munasabah semata-mata mahu memenuhi agenda tertentu daripada rakan-rakan di dalam komponen PH.

“Perkara ini perlu dipandang serius. Bukan sahaja bimbang dengan untung rugi Tabung Haji semata-mata, tetapi juga bimbang dengan masa depan pekerja-pekerja terutamanya warga tempatan yang terpaksa diberhentikan kerja kerana penutupan cabang perniagaan Tabung Haji itu. Berapa ramai lagi rakyat yang akan hilang pekerjaan?”

Soal beliau lagi, bukankah semasa Pilihan Raya Umum yang lalu, PH berjanji untuk menyediakan jutaan peluang pekerjaan untuk rakyat di negara ini namun kini di manakah janji itu?

“Sebagai salah sebuah cabang politik yang mewakili orang muda, Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Sembilan amat bimbang dengan perkembangan ini. Bimbang kerana sejak PH menjadi Kerajaan, peluang pekerjaan yang dijanjikan tidak kunjung tiba.

“Yang ada hanyalah pembuangan kerja terutamanya melibatkan anak-anak muda. Lebih membimbangkan, syarikat milik kerajaan atau GLC juga kini galak membuang pekerja atas faktor kewangan yang tidak mengizinkan,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.