Muafakat Nasional: Ketepikan Perbezaan Demi Kejayaan Masa Depan

KUALA LUMPUR, 18 Feb – Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Nik Mohd Abduh Nik Abdul Aziz mengharapkan Muafakat Nasional yang digerakkan antara parti itu bersama UMNO menjadi semakin kuat dalam usaha menjadikan ianya alternatif untuk pemerintahan negara.

Menurut beliau hari ini di pelbagai peringkat kawasan mahupun bahagian, masing-masing telah menggerakkan Muafakat Nasional dengan baik dan ianya diharapkan semakin rapat dan terus berkembang.

“Sekarang ini dengan pengalaman, perbezaan, perpecahan yang berpuluh tahun itu kita uruskan dengan baik dan kita yakin ianya semakin rapat… hari ini ianya berkembang dan akhir sekali kita nak buat ‘retreat’. Maknanya perbincangan itu dikongsi bersama secara beramai-ramai.

“Di bawah pun kita tengok iaitu di peringkat kawasan dan bahagian, masing-masing telah pun menggerakkan usaha memperkukuh Muafakat Nasional dan ini adalah satu suasana yang cukup manis. Kita tidak perlu tunggu Pakatan Harapan (PH) lemah untuk membuktikan kita kuat.

“Maknanya kalau PH katakanlah ada kejayaan-kejayaan dia tetapi rakyat akan melihat bahawa wajah Muafakat Nasional lebih mampu dan lebih wibawa untuk menjadi alternatif terbaik kepada masa depan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam progam Hujah terbitan Penerangan UMNO yang turut disertai oleh Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah yang diadakan di sini, Isnin malam.
Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz
Beliau seterusnya mengharapkan rakyat agar terus memperkukuh Muafakat Nasional dan menghormati Perlembagaan negara walaupun dilihat pelbagai perkara timbul sekarang ini berikutan tindakan PH yang boleh menyebabkan rakyat tidak sabar.

Sementara itu Ketua Penerangan UMNO Perlis, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahaya pula berkata Muafakat Nasional mestilah ‘direction’nya memahami ‘spirit’ piagam yang telah ditandatangani sebelum ini.

“Berbalik kepada teras yang kita sama-sama tandatangan sebelum ini… yang perlu dijadikan tempat rujuk. Betul kita nak jaga hak Melayu Islam Bumiputera namun pada masa yang sama semua manusia inklusif sifatnya. Inklusif dalam membawa rahmat kepada alam keseluruhan namun toleransi kita ada batasnya… ada disiplinnya.

“Kita tidak mahu gabungan ini semata-mata kerana kerusi dan kedudukan. Betul kuasa itu penting untuk kita mentadbir urus tetapi ia hanyalah salah satu perantara untuk kita mencapai redha Allah. Dengan kuasa kita mampu mentadbir, mampu mengurus, mampu membuat dasar, mampu melakukan amar maaruf nahi mungkar… itu sasaran dan matlamat kita.

“Sebab itu pentingnya kita menggunakan ‘retreat’ di peringkat kepimpinan tertinggi dan permulaan seperti ini perlu berlaku untuk kesatuan pemikiran yang selalu kita dengar ‘wahdatul fiqr’ kesatuan idealisme ini penting.”

Tambahnya gandingan PAS dengan Dap dulu gagal kerana idealisme yang tidak dapat disatukan yang akhirnya Dap dengan agendanya, PAS dengan agendanya, namun kini Muafakat Nasional dengan satu agenda, dengan kesatuan pemikiran.

“Tentunya kita tidak mampu memastikan tiada perbezaan daripada kalangan kita sebab perbezaan itu fitrah. Bukan semua perbezaan membawa perpecahan tetapi semua perpecahan bermula daripada perselisihan yang tidak diuruskan dengan baik.

“Kami mungkin ada perbeza pendapat serta pandangan tetapi kami buang ego masing-masing, kami buang dan letakkan perbezaan ini ke tepi dan kita cari titik temu kita untuk kita memastikan apa yang berlaku sekarang dapat kita pulihkan dengan lebih baik,” ujarnya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.