Saksi Akui Ahmad Zahid Tidak Campurtangan Dalam Urusan Pembekalan Cip Pasport

KUALA LUMPUR, 14 Feb – Perbicaraan hari ini menyaksikan saksi ke-33 kes perbicaraan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini, Datuk Abdul Aziz Md Nor memberitahu mahkamah bahawa Dr. Ahmad Zahid langsung tidak terlibat atau campurtangan dalam urusan pembekalan cip polycarbonate Pasport Antarabangsa Malaysia (PAM) oleh Datasonic Group Sdn. Bhd., (Datasonic).

Abdul Aziz berkata, walaupun pada tahun 2015, Dr. Ahmad Zahid adalah Menteri Dalam Negeri namun penganugerahan pembekalan cip pasport kepada Datasonic tidak diputuskan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) tetapi atas persetujuan dan kelulusan Kementerian Kewangan.

Abdul Aziz ketika disoal balas oleh peguam bela Ahmad Zahid, Hamidi Mohd. Noh bersetuju dengan cadangan peguam tersebut bahawa pada tahun 2015, berlaku krisis kekurangan pasport disebabkan oleh pembekalan pasport telah sampai ke peringkat maksimum sebelum tamat tempoh pengeluaran.

Sebagai contoh, kata Hamidi, 3 juta unit pasport perlu dibekalkan untuk tempoh lima tahun tetapi tidak sampai lima tahun, bekalan pasport 5 juta unit sudah dipenuhi.

Itulah yang berlaku pada ketika itu yang mana bekalan telah sampai ke tahap maksimum sebelum tamat tempoh kontrak.

Merujuk kepada laporan portal mStar bertarikh 2 Ogos 2016, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Seri Mustafa Ali mengakui berlaku kekurangan bekalan pasport. Ia menjadi isu dan kemarahan rakyat Malaysia.

Disebabkan oleh kekurangan bekalan pasport, kata Mustafa, menjadi punca kelewatan proses urusan pengeluaran pasport.

Kata Mustafa, tempoh selama enam bulan ditetapkan oleh Jabatan Imigresen untuk memohon atau memperbaharui pasport adalah berpunca daripada masalah kekurangan bekalan pasport oleh pihak pembekal.

Jabatan Imigresen, kata Mustafa, memandang serius laporan berita pada 29 Julai lalu mengenai kelewatan proses permohonan dan memperbaharui pasport sehingga menyebabkan situasi panik dalam kalangan orang ramai. (pautan)

Saksi bersetuju bahawa pasport adalah dokumen penting bagi keseluruhan rakyat Malaysia yang memerlukannya.

Oleh kerana terdapat kekurangan pasport, sebab itulah pelantikan pembekal dipercepatkan oleh Kementerian Kewangan.

Abdul Aziz yang pernah bertugas sebagai Setiausaha Bahagian (SUB) Perolehan KDN, memberitahu mahkamah, permohonan pembekal atau vendor dibuat kepada Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP) Kementerian Kewangan.

“Betul. Permohonan pembekal dibuat kepada KSP Kewangan dan bukan kepada KDN.

“Keputusan permohonan pembekal dinilai oleh Pasukan Teknikal dan dalam pengetahuan Jabatan Imigresen.

“Cip yang dibekalkan oleh Datasonic bukan sahaja lebih selamat dan baik tetapi bekalan cip Datasonic adalah lebih selamat dan berjaya,” kata Abdul Aziz.

Menjawab soalan balas Hamidi lagi berhubung perenggan kelima, kenyataan bertulis oleh saksi, Surat Setuju Terima (SST) oleh Datasonic dibuat secara terus kepada Kementerian Kewangan dengan Jabatan Imigresen (JIM) memberikan pandangan.

Merujuk kepada exhibit P359, saksi dengan jelas berkata, beliau bersetuju dengan cadangan peguam Hamidi selepas Datasonic membuat permohonan bagi meneruskan pembekalan cip, ketika Menteri Dalam Negeri memberi respons atau minit, permohonan telah dibuat kepada KSP Kewangan.

Soalan tambahan daripada barisan peguam bela Ahmad Zahid dikemukakan oleh Datuk Ahmad Zaidi Zainal.

“Setuju dengan saya, Datasonic mematuhi semua prosedur permohonan membekalkan cip,” kata Ahmad Zaidi.

“Setuju,” kata Abdul Aziz.

“Setuju dengan saya, proof of concept dibuat oleh Jabatan Imigresen. Dalam perbincangan tersebut, sebelum dikeluarkan laporan, Datuk Zahid Hamidi terlibat?,” soal Ahmad Zaidi.

Jawab Abdul Aziz, “Setahu saya, tidak.”

Seterusnya Ahmad Zaidi berkata, sekiranya proof of concept dijalankan, gagal, tidak berjaya ataupun gagal berjalan dengan baik, apakah yang akan terjadi?

“Jika gagal, saya akan buat laporan kepada Kementerian Kewangan, katakan ia gagal.

“Berdasarkan pengalaman, jika proof of content gagal, SST tidak akan dianugerahkan atau dimasukkan,” jawab Abdul Aziz kepada soalan balas terakhir.

Prosiding kes perbicaraan Dr. Ahmad Zahid akan bersambung pada Rabu depan. – Suara Merdeka

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.