Guan Eng Berpenyakit Islamophobia, Melayuphobia… Jangan Langkau Kesabaran Melayu/Islam – Reezal

KEPALA BATAS, 11 Feb – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican tegas memberi peringatan buat Setiausaha Agung Dap Lim Guan Eng agar pelihara lidah sebelum menyemarakkan kemarahan rakyat.

Gesa Reezal, Guan Eng perlu tarik balik segala kenyataan biadap lagi dungu sebelum ia mendatangkan kemarahan luar biasa rakyat kerana dalam berpolitik ada batasnya dan Menteri Kewangan itu sudah melangkaui sempadan kesabaran umat Melayu-Islam.

“Guan Eng boleh terus memainkan isu dan sentimen perkauman dangkal begini. Hakikatnya, orang Melayu dan umat Islam tidak akan melepaskan penghinaan begini dengan mudah.

“Percayalah, kebiadapan dan penghinaan berterusan Guan Eng kepada kerjasama politik Melayu-Islam akan hanya mempercepatkan komitmen Muafakat Nasional. Guan Eng yang ‘biadap’ merupakan kelebihan kepada UMNO-PAS.

“Saya amat yakin, ini merupakan kaedah Dap untuk memberikan tekanan berterusan kepada Tun Mahathir dan kepimpinan Bersatu. Ini strategi Guan Eng dan sekutu politiknya menekan Tun Mahathir supaya membuat keputusan politik yang beliau inginkan,” katanya dalam satu kenyataan.

Reezal berkata demikian mengulas beberapa kenyataan Guan Eng yang cukup dangkal, biadap dan bersempadan dengan kebodohan politik, antaranya seperti: “Penyatuan politik Melayu (UMNO dan Pas) merupakan gendang perang kepada bukan Melayu”, “Kerjasama UMNO-PAS akan membawa zaman kegelapan seperti negeri Kelantan” dan “Kerjasama UMNO-PAS berbahaya kepada masyarakat”.

Ulas Reezal yang juga Ahli Parlimen Kepala Batas, penyatuan politik Melayu-Islam melalui Muafakat Nasional bukan bersifat perkauman seperti Dap.

“Sampai bila Dap mahu mengatakan, hanya parti rasis itu sahaja yang layak mewakili bukan Melayu dan bukan Islam?

“Rakyat bukan Melayu-bukan Islam sendiri mula tidak selesa dengan kebiadapan Dap, dan ini akan dibuktikan dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15),” ujarnya.

Tambah Reezal juga, mengatakan Negeri Kelantan Darul Naim berada di dalam ‘zaman kegelapan’ adalah satu kenyataan biadap dan kurang sopan kepada kerajaan Baginda Sultan Muhammad V pemerintah negeri tersebut serta ia juga menidakkan ‘keputusan rakyat’ negeri tersebut.

“Guan Eng patut tahu, mutakhir ini, Malaysia sendiri sedang berdepan ‘zaman kegelapan ekonomi’ dengan strategi bebal yang diusahakan Kementerian Kewangan pada ketika ini.

“Data ekonomi yang ‘tergelincir’, kos sara hidup rakyat yang kian meningkat, statistik pengangguran yang kian mencanak ini hasil kebebalan dan kedunguan siapa, kalau bukan Guan Eng? Tempelaknya lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.