PH Tidak Boleh Harap, Tiada Kredibiliti Kemudi Negara

KUALA LUMPUR, 6 Feb – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Khaidhirah Abu Zahar berkata kerosakan yang dilakukan oleh kumpulan pemimpin yang tidak ada pengalaman mentadbir dari Pakatan Harapan (PH) menyebabkan negara mundur terkebelakang berbanding negara jiran Singapura dan Indonesia, termasuk episod-episod memalukan yang kerap menghuni negara akibat menteri yang tidak punyai kredibiliti untuk mentadbir.

Secara jelas tegasnya lagi, kerajaan PH kini sebenarnya tidak mempunyai kriteria yang boleh diharapkan untuk mengemudi negara melainkan dengan komen ‘lucu’ para menteri mereka serta perbuatan yang merendahkan-rendahkan rakyat dan negara mereka sendiri.

“Ambillah pengajaran atas air mata dan kesengsaraan rakyat Syria yang membabitkan golongan minoriti menguasai Syiria hingga rakyatnya terbuang di negara sendiri.

“Manakala pejuang-pejuang akar umbi UMNO harus bersama berganding bahu dan menyedari hakikat yang berlaku hari ini, di mana menuntut ketajaman akal kita dan solidariti kita yang bertuankan rakyat di negara ini.

“UMNO perlu bangkit. Bangkit semula melawan kakistokrasi kerajaan hari ini, bertunjangkan aspirasi masa depan rakyat. Setiap ahli UMNO perlu berhenti bermain retorik politik dengan mengembalikan politik ini kepada dasar yang bertuankan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.

Ulasnya lagi, jika terdapat mana-mana parti bersepakat untuk berjuang kerana rakyat, ianya perlu mendasari ruang ikhlas atas matlamat yang sama, berfokuskan watan dan negara.

“Tiada gunanya mempertahankan sesuatu yang kita katakan ianya sebagai maruah parti, sedangkan ia sebenarnya demi ‘seorang individu’ sahaja.

“Parti-parti Melayu dan agama Islam harus bersatu berada dalam satu bumbung perjuangan, dan parti bukan Melayu seperti MCA dan MIC pula harus tetapkan solidariti bersama ke arah keharmonian yang sebenar, selaras dengan apa yang diimpikan rakyat Malaysia berbilang kaum selama ini,” tambahnya.

Khaidirah turut berkata kesengsaraan rakyat kini tidak boleh tutupi dengan ketakjuban berpolitik hingga melupakan kesengsaraan rakyat dalam terbeban dengan kos sara hidup, tiada peluang pekerjaan, masalah pengangkutan awam, pendapatan keluarga yang tidak setimpal serta hal ehwal Melayu dan agama Islam.

“Di mana kalian semua, kerajaan PH ketika rakyat sengsara dengan pelbagai isu kini?

“Jelas, hanya blok pembangkang sahaja yang konsisten memperjuangkan pelbagai isu membabitkan agama Islam seperti Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), dan isu kedaulatan seperti Pas Sementera Sabah (PSS).

“Manakala bantuan rakyat seperti BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia – Kini Bantuan Sara Hidup) pula diteruskan disebabkan tekanan yang diberikan oleh blok pembangkang yang mahu bantuan marhein diteruskan walau apa jua alasan diberikan,” katanya.

Beliau juga percaya usaha-usaha ini perlu ditransformasikan dengan lebih jelas melalui kuasa politik negara, di samping kuasa untuk mengekang cubaan menggugat hak istimewa Melayu dan Islam yang sedang dicabuli kumpulan cauvinis yang ‘menjadi tuan’ dalam kerajaan.

Justeru katanya, suka atau tidak majoriti rakyat Malaysia adalah Melayu dan Islam dan kerajaan haruslah berpandukan kepada perjuangan Melayu serta Islam, demi kesejahteraan dan keharmonian negara ini. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.