Umrah ‘Transgender’ Undang Kecelaruan, Kembalilah Kepada Fitrah, Syariat – Pemuda UMNO

KUALA LUMPUR, 4 Feb – Sekretariat Agamawan Muda (SAM) Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia tertarik untuk memberikan pandangan mengenai isu pengusaha kosmetik, Muhammad Sajjad Bin Kamaruz Zaman menunaikan umrah beridentitikan lelaki namun berperwatakan wanita yang mulai tular pada 2 Feb, Ahad telah mencemar kehormatan dan kesucian Haramain, tanah suci Makkah dan Madinah.

Kata Pengerusinya Afif Farhi Othman, pihaknya tidak menafikan hak mana-mana individu muslim untuk melaksanakan umrah waima mereka dari golongan ‘transgender’ kerana memahami bahawa hukum mengerjakan umrah ini adalah harus bagi setiap umat Islam yang berkemampuan.

“Namun, tindakan mengerjakan ibadah umrah serta ibadah-ibadah yang lain di tempat yang dikhususkan untuk muslimat bagi seorang lelaki adalah perkara yang melanggar syariat dan tidak boleh dikompromi,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Tegasnya lagi, tindakan tidak bertanggungjawab tersebut akan memberikan implikasi yang negatif terhadap beberapa perkara antaranya seperti berikut:

1) Pengurusan Visa: Kita semua sedia maklum bahawa kerajaan Saudi telah memperkenalkan dua jenis visa iaitu ‘Visa Umrah’ dan ‘Visa Pelancong’ bagi memudahkan para jemaah dari Malaysia menunaikan umrah.

Peristiwa ini dibimbangi akan menyebabkan syarat keperluan untuk kelulusan visa akan lebih diperketatkan dan menyukarkan prosesnya.

2) Syarikat / Agensi Pelancongan: Isu ini akan memberikan kesan langsung kepada agensi pelancongan yang terlibat di dalam pengendalian umrah ‘transgender’ ini boleh dikenakan tindakan perundangan oleh Kementerian Haji dan Umrah Saudi akibat perlanggaran syarat yang telah ditetapkan.

Ianya juga boleh mencemarkan nama baik, imej serta reputasi syarikat yang dilihat gagal menguruskan jemaah mematuhi peraturan yang telah digariskan.

3) Masyarakat Umum: Sekiranya peristiwa ini tidak dibendung dan dikawal, maka ia seolah bermaksud kita menggalakkan jemaah umrah ‘transgender’ ini untuk terus melakukan perkara yang mempersendakan hukum dan merosakkan kesempurnaan ibadah jemaah yang lain akibat dari percampuran antara lelaki dan perempuan.

Justeru tambahnya lagi, pihak SAM mencadangkan beberapa tindakan susulan diambil.

1) SAM berharap pihak kedutaan Arab Saudi di Malaysia agar maklum dan cakna bahawa ini merupakan isu sensitif yang perlu diberikan penjelasan supaya hubungan antara Malaysia dan Saudi kekal baik serta tidak memberikan implikasi negatif kepada jemaah umrah yang lain.

2) Mendesak Menteri di Jabatan Perdana Menteri, YB Dr Mujahid Yusof Rawa yang begitu lunak di dalam melayani dan menyantuni golongan ini atas konsep ‘Rahmatan Lil A’lamin’ agar tampil membuat kenyataan dan mengambil tindakan segera bagi memelihara nama baik Malaysia.

3) Pihak JAKIM perlu membuktikan kesahihan jantina individu ini serta lebih tegas di dalam membendung gejala ‘transgender’ daripada tersebar luas. JAKIM diharapkan dapat melipatgandakan aktiviti dakwah dengan melibatkan organisasi-organisasi dan badan-badan dakwah yang ada.

4) Memohon syarikat / agensi pelancongan yang mengendalikan umrah untuk memperketatkan prosedur di dalam menguruskan jemaah ‘transgender’ agar tidak berlaku perlanggaran syarat, hokum-hakam, garis panduan mahupun undang-undang yang telah ditetapkan.

Jelasnya juga, SAM berharap isu tersebut dapat menyuntik kesedaran masyarakat kepentingan hidup bersyariat dan berharap jemaah ‘transgender’ ini kembali ke pangkal jalan serta menjalani kehidupan selari dengan tuntutan agama.

“Kami juga berharap peristiwa ini tidak menjadikan budaya ‘transgender’ ini satu norma yang boleh diterima masyarakat,” katanya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.