Politik Identiti Di Malaysia – Dr Zambry

KUALA LUMPUR, 3 Feb – Mutakhir ini istilah politik identiti digunakan dalam banyak perbincangan hal ehwal politik negara. Ia berselang seli dengan politik perkauman.

Dikatakan bahawa politik ini banyak dicorakkan oleh politik perkauman. Bangsa yang dirujuk bermain dengan perkauman ini ialah bangsa Melayu.

Parti yang dituduh dengan jenis politik ini ialah UMNO dan PAS.

Walaupun Parti Bersatu (PBBM ) dicorakkan oleh politik seperti UMNO ( malah berhasrat menjadi pengganti UMNO dalam PH), ia tidak dianggap seperti UMNO dan PAS.

Justeru apakah sebenarnya politik identiti ini?

Politik identiti adalah bentuk analisis sosial dan tindakan politik oleh kumpulan yang berlatarbelakang agama, fahaman, budaya, kaum, amalan dan ideologi ke atas kumpulan yang lebih dominan dan majoriti serta berkuasa.

Mereka merasakan ketidak-adilan dilakukan terhadap mereka selaku kumpulan kecil dan lemah.

Mereka juga menuduh berlaku ketaksama-rataan ( inequality) akibat daripada dasar ekonomi dan sosial yang dilaksanakan yang menyebabkan mereka rasa terpinggir.

Mereka juga menganggap bahawa mereka sering menjadi mangsa buli oleh sistem pemerintahan yang tidak adil.

Maka muncullah perasaan penentangan (resentment). Seperti yang disebutkan oleh Francis Fukuyama dalam bukunya Identity, beliau menyatakan sikap penentangan ini bukan sekadar disebabkan oleh tekanan ekonomi, tetapi juga disebabkan oleh thymos- iaitu kedudukan maruah sesebuah kumpulan atau bangsa yang tercabar.

Dalam sudut pandang politik identiti, kumpulan kecil dan minoriti akan mendesak dan menyerang kumpulan dominan dan berkuasa dengan panggilan pemeras, pembuli, pengamal perkauman, zalim, dan pelaksana diskriminasi agihan ketaksamaan.

Akibat tindakan yang agresif daripada kumpulan minoriti yang terpinggir dan tidak mendapat keadilan ini, maka muncullah tindak balas daripada kumpulan majoriti untuk mempertahankan kedudukan mereka dari serangan berterusan kumpulan minoriti.

Pengalaman harian menjadikan kumpulan besar dan majoriti ini semakin bimbang dan takut dengan nasib dan masa depan mereka.

Menurut Prof Amy Chua, dalam karyanya Political Tribes, kumpulan ini akan kembali membina ikatan kesukuan mereka. Mereka menjadi semakin insular dan defensif demi memastikan keadaan dan kedudukan mereka terpelihara.

Kenyataan terbaru Nga Kor Ming dalam wawancara dengan akhbar berbahasa Cina Oriental Daily (29 Jan 2020) tentang kononnya bencana terhadap orang Cina akibat muafakat UMNO-PAS dan kenapa orang Cina perlu menyokong DAP adalah contoh politik identiti perkauman.

Sebelum ini Nga pernah menyatakan bahawa pakatan UMNO dan PAS adalah suatu yang merbahaya dan akan membawa negara ini seperti pemerintahan Taliban.

Dalam wawancara terbarunya itu lebih serius apabila beliau mengingatkan masyarakat Cina untuk terus memberi sokongan kepada DAP dan tidak memberi sokongan kepada MCA. Kerana memberi sokongan kepada MCA bermakna membenarkan PAS dan UMNO memerintah.

Dari sudut politik identiti, jelas menunjukkan sikap parti beliau yang bermain dengan sentimen perkauman untuk menentang usaha kumpulan majoriti untuk bersatu.

Maka reaksi kumpulan majoriti tentunya akan lebih menguatkan keazaman untuk memperkukuhkan muafakat mereka.

Malah ia menambahkan kebimbangan kumpulan majoriti yang melihat kuasa seperti DAP semakin garang menyerang dua parti terbesar orang Melayu-Islam ( PAS dan UMNO); dan menguasai pemerintahan politik negara.

Ia ditambah lagi dengan keadaan ekonomi kumpulan majoriti yang semakin merasai kesempitan. Institusi-institusi yang ada kaitan dengan kumpulan majoriti semakin diganggu dan dirobekkan.

Apatah lagi apabila model PH itu dianggap adalah model dominan DAP.

Malah serangan bertubi-tubi terhadap Muafakat Nasional yang dianggap oleh Nga sebagai gabungan dua parti ekstrim, iaitu UMNO yang dianggap sebagai parti sangat perkauman, dan PAS sebagai parti ekstrim agama, menambahkan lagi kemarahan orang Melayu-Islam terhadap cara fikir parti DAP.

Justeru timbul kesedaran yang melangkaui model pakatan politik sedia ada untuk memastikan agar kedudukan majoriti kembali terpelihara.

Lantaran itulah juga kenapa parti Bersatu, sebelum ini, meskipun berada dalam PH, berani mengadakan sebuah Kongres Maruah Melayu, sebagai cetusan keresahan dan kemarahan orang Melayu dan Islam.

Maka tidaklah menjadi kejutan sekiranya berlaku perimbangan politik baru tanahair akibat kebangkitan kesedaran di kalangan kumpulan majoriti ini.

Dalam pada itu, model pendekatan kesederhanaan dan “ middle path” yang dibina oleh BN selama ini mulai diimpikan semula atas faktor pemuafakatan politik (consociational politics) ) dari pelbagai bangsa dan wilayah dalam negara ini.

Konsep pemuafakatan atau gabungan ini berjaya mengurangkan suhu pertikaman lidah dan perkelahian terbuka antara parti, demi memastikan keamanan negara dan kesejahteraan sosial.

Mungkinkah model baru muafakat dan gabungan ini akan dibentuk bagi menyelamatkan negara dari segala kemudaratan?Dan sekaligus berjaya menghentikan mainan emosi dan ketakutan orang bukan Melayu dan bukan Islam yang diacum oleh DAP?

Dan kembali membawa kepada realiti politik Malaysia yang tidak mengkesampingkan politik Melayu dan Bumiputra sebagai asas dan teras, dan bersifat terangkum (inclusive) atas hakikat kepelbagaian bangsa, suku kaum, agama, dan wilayah. – UMNO Online

Dr Zambry Abd Kadir
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.