Berita Tidak Benar : Kerajaan PH ‘Mesti Berlaku Adil’ – Dr Shamsul

KUALA LUMPUR, 1 Feb – Berita palsu sememangnya tidak baik kepada pelbagai pihak dan menyedari keadaan inilah Barisan Nasional (BN) sewaktu memerintah Malaysia memperkenalkan Akta Anti Berita Tidak Benar yang diluluskan pada 2 April 2018, tegas Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Menurut beliau matlamatnya antara lain mahu menjaga pelbagai pihak namun ianya ditentang hebat oleh pimpinan Pakatan Harapan (PH) ketika itu kononnya ia menyekat kebebasan bersuara dan sebagainya.

“Akhirnya, akta ini telah dibatalkan pertama kali oleh Kerajaan PH pada 16 Ogos 2018, beberapa bulan selepas mendapat kuasa pemerintahan dan ia menyaksikan pemansuhan kali kedua dibuat bagi akta ini pada 9 Oktober tahun lalu. Bagaimanapun, nampaknya kini baru Kerajaan PH sedar betapa pentingnya akta seumpama ini.

“Kita memang konsisten mengenai perkara seumpama ini. Namun Kerajaan PH mesti berlaku adil kepada rakyat dan semua pihak. Apa juga akta yang digunakan oleh Kerajaan PH dalam menanggani isu berita tidak benar, semua pihak mesti dilayan sama adil berasaskan prinsip undang-undang,” katanya menerusi catatan di facebook.

Tegas beliau sangatlah tidak adil apabila hanya satu pihak sahaja yang diambil tindakan manakala pihak lain terutama yang ada kaitan dengan kerajaan tidak diambil tindakan.

“Jika ini berlaku ia sangat tidak adil dan merosakkan sistem perundangan negara ini. Semua agensi penguatkuasa mesti berdiri serta berfungsi berasaskan undang-undang tanpa ada campurtangan politik atau atas kepentingan sesuatu pihak. Ini penting bagi menegakkan keadilan kepada rakyat Malaysia. Hak rakyat disisi undang undang mesti diutamakan,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.