Sampai Bila PH Mahu Bergaduh Dan Abaikan Kebajikan Rakyat? – Tawfik
KUALA LUMPUR, 29 Jan – Sampai bila pemimpin Pakatan Harapan (PH) mahu bergaduh dan berebut jawatan sedangkan nasib rakyat tidak diperjuangkan?
Penganalisis politik tempatan, Dr. Mohammad Tawfik Yaakub berkata rakyat sudah mula muak dengan ‘drama’ yang disajikan oleh PH.
“PH adalah variasi daripada pelbagai jenama kegagalan pembangkang yang sebelumnya Barisan alternatif, Pakatan Rakyat dan kemudiannya kini Pakatan Harapan. Gabungan asalnya adalah atas dasar kekecewaan, pertembungan dan persaingan kuasa pada tahun 1998, maka tidak hairanlah budaya merebut jawatan dan kuasa masih wujud dalam PH meskipun telah menjadi kerajaan.
“Ini amat berbeza dengan Perikatan dan BN dari perspektif sejarahnya dibentuk iaitu untuk memperjuangkan kemerdekaan serta mengisi kemerdekaan untuk rakyat. Meskipun tidak dinafikan kadangkala timbul pergeseran dalam gabungan perikatan dan BN sebelum ini namun pergeseran yang timbul ini tidaklah sehingga mencerminkan sikap biadap kepada pemimpin nombor satu negara dan sama sekali tidak mengabaikan keutamaan membela rakyat.
“Inilah perbezaan BN dengan PH… ya, kita bersetuju dengan kebebasan untuk menegur pemimpin, menasihat pemimpin tetapi keterbukaan kepimpinan yang tidak dibentuk dengan nilai sopan dan menghormati, akhirnya menyebabkan pemimpin PH sendiri secara terbuka mengkritik Perdana Menteri dan membuat desakan yang keterlaluan kepada kepimpinan,” ujar beliau kepada UMNO-Online.
Tambah Tawfik, kerana sikap PH yang beginilah maka rakyat menjadi muak dan mula membenci mereka kerana pertelingkahan tidak berfaedah ini amat merugikan rakyat.
“Rakyat mahu kerajaan yang boleh membela nasib mereka. Di kala harga barang semakin naik, dengan penularan wabak yang membimbangkan, kerajaan pula seakan tidak prihatin dan terus dengan kesibukan mereka berebut jawatan.
“PH seakan tidak dapat membezakan mana yang menjadi keutamaan. Sudahlah suara rakyat tidak didengari, cara mereka mentadbir negara juga memualkan rakyat. Jika dulu PH dianggap sebagai penyelamat rakyat tetapi kini ternyata rakyat dikecewakan,” ujar beliau.
Selain itu jelas Tawfik, walaupun ada yang menjangkakan pertelagahan dalaman PH ini akan selesai apabila Anwar menggantikan Tun namun hakikat sebenar ia tidaklah semudah itu.
“Saya tidak melihat pertelagahan dalam PH akan selesai bila Anwar menggantikan Tun malah bagi saya perbalahan dalam PH akan menjadi semakin serius sekiranya Anwar dipilih menggantikan Tun selepas Tun mengundurkan diri. Sebenarnya, perbalahan berebut jawatan dalam kalangan PH ini adalah senjata makan tuan yang akan merosakkan PH itu sendiri.
“Saya juga tidak akan terkejut jika PH tidak mampu mengekalkan kedudukannya sebagai kerajaan sebelum tamat penggal kerana pertelagahan tidak dapat lagi dibendung sehingga menyebabkan pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada PRU diadakan,” ujar beliau lagi. – UMNO ONLINE