Koronavirus Perkara Kritikal, PH ‘Slow’… Jangan Ambil Ringan – Isham
KUALA LUMPUR, 29 Jan – Presiden Sukarelawan Malaysia, Isham Jalil melihat tindakan pemimpin-pemimpin kerajaan terutama Perdana Menteri dalam menangani kes koronavirus dianggap ‘slow’ dan seolah-olah mengambil ringan serta meremehkan perkara ini.
Tegasnya, ini tidak sepatutnya apabila Kerajaan Malaysia beri alasan tidak cukup ‘thermal scanner’ untuk kesan simptom di lapangan terbang dan kerajaan baru ingin cari peruntukan untuk beli ‘scanner’ tambahan dengan Menteri Kewangan Lim Guan Eng kata bajet akan diberikan secepat mungkin (maksudnya belum diberi lagi).
“Takkan nak tunggu beberapa rakyat mati dahulu, atau beribu orang jatuh sakit seperti insiden di Sungai Kim Kim Pasir Gudang baru hendak bertindak,” katanya dalam kenyataan berkaitan isu tersebut.
Dilaporkan, apabila ditanya berkenaan sekatan dan kuarantin ke atas pelawat-pelawat dari China, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir berkata, “mana kita nak letak (kuarantin) pelancong China? Dalam kandang lembu? (diikuti dengan gelak ketawa )”.
Untuk soalan yang lain apabila wartawan bertanya adakah kita akan menyekat barang-barang yang diimport dari Wuhan (untuk mengekang penularan virus), Tun Dr Mahathir berkata, “buat apa (nak sekat)? Barang-barang itu bukannya demam (gelak ketawa).”
Jelas Isham, minggu lepas dilaporkan lima juta penduduk Wuhan telah sempat keluar dari bandar itu sebelum sekatan keluar dikenakan oleh Kerajaan China dan orang yang membawa virus biasanya tidak sedar dan menjangkiti orang lain sehingga mereka jatuh sakit.
“Jika saya seorang warga Wuhan yang ingin lari dari Wuhan, minggu lepas sebaik sahaja virus ini dikesan dan heboh dilaporkan, saya akan beli tiket kapal terbang dan datang ke Malaysia sebab Malaysia antara negara yang paling senang untuk warga China masuk.
“Sejak 1 Januari 2020, Kerajaan PH telah memberikan pengecualian visa kepada pelawat-pelawat dari China untuk memudahkan mereka masuk ke Malaysia.”
Tambahan lagi, katanya, tidak seperti kerajaan negara-negara lain, Kerajaan Malaysia dan menteri-menterinya termasuklah Perdana Menteri dilihat mengambil ringan berkenaan wabak virus ini dan lambat mengambil tindakan dan Isnin barulah kerajaan terhegeh-hegeh menggantung pengecualian visa pelawat China setelah didesak ramai.
“Kepada Perdana Menteri Tun Mahathir dan Tun juga adalah seorang doktor, seriuslah sikit berkenaan hal ini. Perkara ini adalah perkara kritikal. Ramai orang telah mati dalam jangka masa yang singkat akibat jangkitan virus ini dan ia semakin merebak.
“Kita tidak perlu panik namun kita juga tidak perlu mempermain-mainkan, memperkecil atau membuat lawak bodoh dalam mengambil tindakan atau apabila ditanya berkenaan tindakan kerajaan dalam menangani hal ini.
“Zaman ini bukan lagi zaman kita boleh ‘downplay’ atau remehkan perkara seperti ini untuk menutup kelemahan tindakan kerajaan atau menipu rakyat supaya kononnya jangan risau atau panik.”
Tegasnya lagi, rakyat berhak mendapat jawapan fakta sebenar dan tindakan yang serius daripada kerajaan.
“Cuba kalau virus ini kena pada Mukhriz, Mokhzani atau Marina, tengok sama ada Tun boleh buat lawak lagi atau tidak berkenaan virus ini selepas itu,” bidas beliau lagi.
Setakat jam 8:00 malam tadi, negara China mengesahkan 4,000 kes koronavirus dijangkiti di dalam negeri dan kematian meningkat kepada 106 orang dengan Kerajaan China sedang mencuba sedaya upaya untuk mengekang penyebaran wabak virus ini yang telah dikesan di 18 negara lain termasuk Malaysia.
Dalam masa yang sama, Isham turut berkongsi respons kerajaan negara-negara terlibat membabitkan kes koronavirus:
HONG KONG, 28 Jan 2020: Tutup sempadan dengan tanah besar China untuk mengekang penyebaran virus.
SINGAPURA: Kerajaan Singapura menyekat kemasukan dan transit pelawat-pelawat yang datang dari Hubei (daerah di mana Wuhan adalah ibu negeri) dan pelawat yang memegang pasport dari Hubei.
THAILAND: Kerajaan Thailand telah mewajibkan pemeriksaan simptom Coronavirus ke atas kesemua pelawat dan warga China yang ingin masuk ke sempadan Thailand dan kuarantin mereka jika didapati membawa virus.
AMERIKA SYARIKAT: Kerajaan Amerika Syarikat telah menghantar kapal terbang untuk mengeluarkan (evakuasi) 240 orang rakyat Amerika dari Wuhan.
JEPUN: Kerajaan Jepun menghantar kapal terbang untuk mengeluarkan (evakuasi) 650 orang rakyat Jepun dari Wuhan.
AUSTRALIA: Kerajaan Australia menghantar kapal terbang untuk mengeluarkan (evakuasi) 100 orang rakyat Australia dari Wuhan.
PERANCIS: Kerajaan Peranchis menghantar kapal terbang untuk mengeluarkan (evakuasi) 800 orang rakyat Perancis dari Wuhan.
FILIPINA: Kerajaan Filipina menggantung semua visa pendaratan (visa on arrival) kepada semua pelawat dari China.
KOREA SELATAN: Kerajaan Korea Selatan menghantar kapal terbang untuk mengeluarkan (evakuasi) 700 orang rakyat Korea Selatan dari Wuhan. Kerajaan Korea menyatakan akan membanteras penyebaran virus ini secara “All out”. – UMNO Online