Polemik Kekeliruan Borang Rayuan Haji: Menteri Haji Perlu Tampil Jelaskan

KUALA LUMPUR, 28 Jan – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menggesa Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa tampil memberikan pencerahan mengenai polemik borang rayuan haji yang mengelirukan.

Ujarnya, Dr Mujahid juga perlu tampil sebagaimana Ahli Parlimen Parit Buntar itu mengumumkan kejayaan kenaikan kuota rasmi haji tempoh hari.

Ini kerana katanya, ramai yang keliru dengan borang baharu yang perlu diisi oleh setiap orang yang ingin merayu bagi menunaikan haji pada tahun ini.

“Di dalam borang tersebut, perayu dikehendaki menandakan di satu bahagian sama ada mereka bersetuju untuk membayar penuh kos Haji RM22,900 ataupun tidak.

“Dalam siaran pemaklumannya, pihak Tabung Haji (TH) menyatakan terserah kepada pihak perayu untuk membayar penuh secara sukarela. Dengan bahasa mudah, terserah siapa yang nak bayar penuh RM22,900 atau nak bayar kos bersubsidi RM9,980.

“Mana-mana orang yang rasional sudah tentu akan pilih hendak bayar RM9,980 berbanding RM22,900,” tegasnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dr Asyraf yang juga bekas Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri turut menimbulkan persoalan-persoalan yang perlu dijawab oleh Dr Mujahid.

“Apakah rasionalnya diwujudkan bahagian untuk ditandakan persetujuan untuk perayu membayar kos penuh RM22,900?

“Apa jaminan perayu yang menandakan tidak bersetuju untuk membayar penuh kos RM22,900 akan menerima pertimbangan yang adil?

“Apakah akan wujud diskriminasi terhadap layanan jemaah haji muassasah yang membayar penuh dengan yang bayar kos bersubsidi? Tanyanya.

Begitu juga Dr Asyraf bertanya mengenai pertemuan bersama mufti-mufti pada minggu lepas dan tindakan pusingan-U kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Apakah ini ada kaitan dengan pertemuan dengan mufti-mufti Jumaat lalu untuk mendapatkan ‘endorsement’ atau sokongan bagi membolehkan TH mengenakan caj penuh kepada perayu atas hujah istito’ah (kemampuan)?

“Apakah ini satu kaedah ‘u-turn’ setelah mendapat bantahan rakyat tatkala menteri pada awalnya mengumumkan untuk mengurangkan subsidi haji? Soalnya lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.