Koronavirus: Kerajaan Digesa Tarik Balik Pengecualian Visa Kepada Pelancong China

KUALA LUMPUR, 25 Jan – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin mempersoalkan tindakan kerajaan pusat pimpinan Pakatan Harapan (PH) dalam menyekat virus koronavirus dari merebak ke negara ini.

Jelas beliau, kerajaan hanya dilihat lebih mementingkan kempen Tahun Melawat Malaysia 2020 (TMM2020) daripada kesihatan rakyat negara ini.

“Jika sebelum ini negara dikejutkan dengan penyebaran virus Influenza yang menyebabkan gejala seperti demam selesema, sakit tekak, batuk, sakit kepala, sakit otot, sakit sendi dan kelesuan, kini muncul pula Koronavirus.

“Korea Utara dilaporkan telah menutup sempadan negaranya kepada pelancong kerana khuatir Koronavirus tersebar di negara itu. Kim Jing-un telah mengharamkan kedatangan pelancong asing kerana risau virus misteri merebak apatahlagi kebanyakan pelancong yang masuk ke Korea Utara adalah daripada China.

“Apa pula usaha Malaysia bagi menangani masalah ini? Dengan penyebaran Koronavirus yang melanda negara China pada ketika ini, sepatutnya kerajaan menarik balik pengecualian visa kepada pelancong dari China dan India,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Tambah Sharkar yang juga merupakan Exco Pelancong, Alam Sekitar & Peladangan Negeri Pahang, negara pastinya akan mudah terdedah kepada ancaman penyakit berjangkit antarabangsa selagi Malaysia membuka pintu masuk negara kepada pelancong dan pekerja asing.

“Tidak salah pengecualian visa berkenaan ditarik balik buat sementara waktu demi memastikan tidak berlakunya kebanjiran warga asing khususnya dari negara China di negara ini.

“Biarpun Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi menjelaskan pelancong yang masuk ke negara ini akan disaring terlebih dahulu di pintu masuk negara, termasuk lapangan terbang namun adakah jaminan tidak akan ada yang terlepas masuk tanpa saringan? Bukankah mencegah lebih baik daripada merawat?,” tegas beliau.

Ulas Sharkar lagi, penyebaran virus yang bermula dari China itu menyebabkan masyarakat seluruh dunia panik seterusnya diselubungi kebimbangan dengan kesihatan diri dan orang tersayang.

Sehingga kini, virus itu telah merebak ke Beijing dan Wilayah Guangdong di selatan China, termasuk Thailand, Korea Selatan, Jepun, Singapura, Taiwan dan juga Amerika Syarikat.

Suruhanjaya Kesihatan Nasional China melaporkan, peningkatan kes positif koronavirus kepada 1,287 kes, dengan jumlah kematian tercatat sebanyak 41 orang.

Ibu negara China juga membatalkan semua acara awam utama sambutan Tahun Baharu Cina termasuk dua acara yang membabitkan kuil.

“Jadi, marilah bersama-sama kita mencegah sebelum parah. Semua ini perlu dilakukan demi keselamatan dan kesihatan rakyat di negara ini.

“Maka kerajaan harus tegas, apakah keutamaan kerajaan buat masa ini? Adakah keselamatan dan kesihatan rakyat atau kehadiran pelancong asing ke negara ini?,” bidas beliau.

Untuk rekod, pada Disember 2019, kerajaan telah mewartakan dua perintah memberikan pengecualian visa selama 15 hari kepada pelancong dari China dan India dari 1 Januari ke 31 Disember 2020.

Langkah itu buat sempena kempen TMM2020. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.