Kepincangan Penjualan Anak Syarikat Tabung Haji, Pemuda UMNO Bakal Buat Laporan Polis

 

KUALA LUMPUR, 24 Jan – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia akan membuat laporan polis dan laporan kepada Suruhanjaya Pencegah Rasuah (SPRM) berkaitan tindakan Tabung Haji menukar jurunilai, kaedah nilaian yang dibuat sehingga nilai RM210 juta hilang dan proses penjualan anak syarikat Tabung Haji Plantation (THP) kepada Tamaco Plantation Sdn Bhd (Tamaco).

Ketuanya Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, Pemuda juga akan menfailkan injuksi di mahkamah bagi pihak pendeposit Tabung Haji untuk menghalang penjualan baki 11 anak syarikat THP sebagaimana yang telah diluluskan oleh Lembaga Pengarah THP.

“Selain itu, Pemuda juga mendesak agar Menteri Agama, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa menyatakan pendirian berkaitan penjualan aset tanah ladang milik orang Islam ini. Perlu diingat, ini adalah hak pendeposit TH dan harta yang dijualkan menjana pendapatan, bukannya mengalami kerugian.

“Menteri harus mengambil tanggungjawab berkaitan isu ini dan bukannya berdiam diri. Mujahid perlu menjelaskan apakah kesan kepada operasi perniagaan THP selepas hampir 76.2 peratus ladang kelapa sawit yang menjadi kekuatan dan kekayaan THP dijual,” ujar beliau dalam satu sidang media di pejabat Pemuda UMNO Malaysia hari ini.

Tambah Dr Asyraf, Mujahid juga perlu menjelaskan siapakah yang mengarahkan Bumi Suria Ventures Sdn Bhd (BSV) dan Maju Warisanmas Sdn Bhd (MW) dijual kepada Tamaco dengna harga RM170 juta secara tunai.

“Pendeposit TH berhak tahu kerana ini adalah hak mereka. Alasan THP untuk melaksanakan penjualan tanah-tanah ini adalah kerana ia sebahagian daripada program rasionalisasi kewangan THP yang dikatakan lemah dan penjualan ini dijangka boleh mengurangkan hutang THP.

“Sekiranya benar THP menghadapi masalah kewangan untuk menepati komitmen hutang, mengapa kerajaan melalui MOF dan TH sendiri tidak mahu membantu THP dan mengapa harga nilaian bagi penjualan BSV dan MW adalah lebih rendah dari kos pelaburan asal THP yang dibuat pada tahun 2013 iaitu RM264 juta.

“Selain itu mengapa THP menukar jurunilai baru yang memberikan penilaian terbaru BSV dan MV pada harga RM170 juta walhal nilai buku pada tahun 2017 mencecah RM380 juta (RM210 juta telah hilang dari nilaian baru ini). Persoalannya, mengapa dan apakah asas jurunilai baru menggunakan andaian untuk kadar diskaun yang lebih tinggi iaitu dari 9 peratus kepada 14 peratus?” bidas beliau.

Disebabkan kepincangan yang dilihat ini maka Pemuda UMNO akan membuat laporan polis dan laporan kepada SPRM agar perkara ini boleh disiasat dengan segera. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.