BNM Turun Kadar Faedah: Apa Kesan Dan Keberkesanan? – Shahril

LANGKAH Bank Negara Malaysia (BNM) kelmarin menurunkan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas daripada 3.00 peratus kepada 2.75 peratus mengejutkan ramai pihak.

Ada beberapa perkara yang wajar menjadi tatapan rakyat:

1) Bank pusat hanya melaksanakan dasar sebegini apabila perlu cuba merangsang ekonomi. Teori lazim ekonomi: turunkan kadar faedah maka tambah pinjaman, tambah belanja dan aktiviti dalam sesebuah ekonomi. Sama ada teori ini berkesan atau tidak, akan saya ulas di bawah. Tapi apapun, yang jelas adalah perangkaan ekonomi negara dalam jangka masa pendek dan sederhana tidak memberangsangkan.

2) Isu perangkaan ekonomi negara yang lembap ini bukan kritikan sembarangan tetapi berlandaskan data. Contoh:

– Petunjuk ekonomi yang diterbitkan Jabatan Perangkaan seperti pertumbuhan jualan dan indeks volum borong dan runcit memberi petanda bahawa pertumbuhan penggunaan swasta oleh isi rumah semakin perlahan. Dalam erti kata lain, rakyat Malaysia tidak lagi berbelanja serancak tahun sebelumnya.

– Pertumbuhan perbelanjaan penggunaan swasta yang menyumbang lebih 50 peratus KDNK negara semakin perlahan bagi setiap suku tahun daripada 8.2 peratus pada suku ke-3 2018, kepada 6.0 peratus pada suku ke-3 2019.

– Komponen kedua terbesar dalam ekonomi Malaysia iaitu pembentukan modal tetap kasar (gross fixed capital formation) juga mengalami kemerosotan dengan pertumbuhan negatif sepanjang tahun 2019.

– Sektor swasta tidak menambah pelaburan mereka manakala kerajaan mengurangkan perbelanjaan modal dengan pengurangan sebanyak 14.1 peratus pada suku ke-3 2020.

3) Jadi tidak hairan mengapa BNM menurunkan OPR semalam untuk memberi rangsangan kepada aktiviti ekonomi domestik yang semakin perlahan.

4) Walaubagaimanapun, usaha untuk merancakkan ekonomi melalui dasar monetari tidak akan membuahkan hasil sekiranya Kerajaan terus kekal dengan dasar fiskal yang tidak menyokong pertumbuhan ekonomi negara.

5) Pembatalan dan penangguhan projek infrastruktur kritikal serta langkah “penjimatan” yang berlebihan oleh Kerajaan hanya akan menidakkan usaha BNM untuk merangsang ekonomi negara.

6) Kerajaan sebagai perangka dasar fiskal terutamanya Kementerian Kewangan untuk mengambil dasar pro-aktif dengan menambah perbelanjaan dan pelaburan untuk mengelakkan ekonomi negara terjerumus ke dalam kegawatan.

7) Dalam keadaan iklim ekonomi domestik dan global yang tidak menentu, hanya Kerajaan yang mempunyai kemampuan untuk berbelanja dan melabur.

8) Jika Kerajaan terus mengamalkan dasar fiskal yang tidak akomodatif seperti sekarang atas alasan lapuk dan ideologi neoliberal yang juga lapuk berjimat tak bertempat, tak mustahil lebih banyak perniagaan akan tutup kedai dan lebih banyak pekerja akan diberhentikan.

9) Tanggungjawab Kerajaan adalah kepada rakyat. Bukannya kepada agensi-agensi penarafan antarabangsa seperti Moody’s, S&P dan Fitch. Tidak ada faedahnya mendapat penarafan bon kerajaan yang baik sekiranya ada rakyat yang menganggur dan ada yang terpaksa hidup kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. – UMNO ONLINE

Shahril Sufian Hamdan
Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.