Rumah Selangorku: Kerajaan Negeri Lepas Tangan, Pembeli Tertipu – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 23 Jan- Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menggesa Kerajaan Negeri Selangor bertanggungjawab dan jangan cuci tangan selepas terbengkalainya projek Rumah Selangorku (RSKU) Residensi Jaya, Batu 9, Cheras.

Katanya, hampir tiga tahun RSKU sepatutnya hampir siap dan boleh diduduki pada 2021, namum difahamkan projek tersebut tidak berjalan seperti direncanakan.

Jelas beliau, menurut aduan pembeli pihak Lembaga Perumahan dan Harta Selangor(LPHS) seolah-olah lepas tangan dan membiarkan pembeli-pembeli mengalami kerugian.

“Pembeli sudah berjumpa wakil LPHS dan juga Exco Kerajaan Selangor tetapi tidak dapat menyelesaikan, seolah-olah kerajaan negeri ‘cuci tangan’ dan menyerahkan kepada pihak penerima untuk menyelesaikannya.

“Saya harap kerajaan negeri Selangor perlu bertanggungjawab terhadap pembeli-pembeli ini walaupun kerajaan negeri menyalahkan pembeli kerana kononnya pembeli membeli melalui agen dan sebagainya tetapi alasan ini tidak boleh diterima kerana surat tawaran adalah daripada LPHS.

“Kita mendesak kerajaan negeri Selangor supaya jangan lepas tangan dan mesti selesaikan isu ini. Ini bukanlah projek pertama yang dijalankan oleh kerajaan negeri Selangor, terdapat beberapa projek perumahan juga gagal dijalankan,” katanya kepada media, di sini.

Ismail yang juga Naib Presiden UMNO juga menggesa agar kerajaan negeri Selangor dapat membayar balik deposit kepada pembeli RSKU.

“Ada yang bayar deposit dan kos guaman sebanyak RM25 ribu dan RM28 ribu. Ada yang mengeluarkan wang dari KWSP, membuat pinjaman dan sebagainya jadi pihak pembeli tidak tahu jawapannya.

“Pembeli ingin tahu sama ada projek ini akan diteruskan oleh pemaju baru yang mengambil alih projek ini, atau kalau tidak ada… sekurang-kurangnya pembeli mahu pihak kerajaan negeri atau LPHS bertanggungjawab untuk memulangkan wang deposit mereka,” jelasnya.

Bidasnya lagi, deposit sudah dibayar kerana jualan bermula pada 4 April 2018 sehingga hari ini tapi tiada perkembangan apa-apa pun yang dilakukan oleh pemaju dan kerajaan negeri. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.