Semoga Kebenaran Menjelma Di Mahkamah Mengikut ‘Rule of Law’ – Jamil Khir

KUALA LUMPUR, 21 Jan – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom mengajak semua pihak agar sama-sama berdoa semoga kebenaran akan menjelma di pentas mahkamah mengikut prinsip keadilan ‘Rule of Law’ berkaitan kes pendakwaan terhadap Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan dan bekas pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Ab Samad.

Pagi tadi Ahmad dan Shahrir dihadapkan di dua Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan gagal mengisytiharkan pendapatan, masing-masing RM2 juta dan RM1 juta yang diterima daripada Datuk Seri Najib Tun Razak kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

“Hari ini saya bersama Presiden UMNO, rakan MKT jua pendokong parti berkumpul di Mahkamah Kuala Lumpur bagi mengikuti perkembangan kes dan pertuduhan keatas Datuk Seri Ahmad Maslan dan Tan Sri Shahrir Samad.

“Kedua-dua mereka dituduh di bawah peruntukan AMLA berkaitan penerimaan wang 1MDB terdahulu. Apapun kedua-dua mereka mengaku tidak bersalah di atas pertuduhan yang dikenakan.

“Sama-sama kita doakan semoga kebenaran akan terjelma melalui pentas mahkamah mengikut prinsip keadilan ‘Rule of Law’. Semoga Datuk Seri Ahmad Maslan dan Tan Sri Shahrir tabah dan kekal teguh dalam menghadapi perjalanan kes nanti. Moga Allah melindungi,” kata Jamil Khir dalam kenyataan hari ini.

Dilaporkan, Ahmad dan Shahrir mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Azman Ahmad dan Azura Alwi.

Bagi pertuduhan pertama, Ahmad didakwa telah melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan cara tidak melaporkan pendapatan sebenar di dalam Borang Nyata Cukai Pendapatan Bagi Tahun Taksiran 2013 yang bertentangan dengan Seksyen 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967.

Ahmad juga dituduh telah memberi penyataan-penyataan palsu semasa percakapannya dirakam mengikut Seksyen 32 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 oleh pegawai penyiasat SPRM iaitu Ketua Penolong Kanan Penguasa Mohd Zairi Zainal di bilik sidang media, Bangunan Parlimen, Jalan Parlimen, di sini antara 2.45 petang hingga 3.30 petang pada 4 Julai, 2019.

Sehubungan itu, Ahmad juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memberi penyataan palsu kepada SPRM membabitkan isu sama.

Sementara itu, Shahrir dituduh melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan cara tidak melaporkan pendapatan sebenar di dalam Borang Nyata Cukai Pendapatan bagi Tahun Taksiran 2013 yang bertentangan dengan Seksyen 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967, iaitu tidak mengisytiharkan pendapatan yang diterima daripada Najib berjumlah RM1 juta melalui sekeping cek AmIslamic Bank Berhad bertarikh 27 Nov, 2013.

Mahkamah menetapkan 21 Feb dan 24 Feb ini untuk sebutan kes. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.