‘Rule of Law’ Malaysia Baharu, Kenapa Hanya Dua Yang Didakwa… Mana Tok Pa Dan YB Mas?

KUALA LUMPUR, 21 Jan – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menimbulkan pelbagai persoalan meragukan dalam kes pertuduhan terhadap Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan dan bekas pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Ab Samad di mahkamah hari ini yang dibuat sejurus selepas kemenangan Barisan Nasional (BN) di PRK Kimanis.

Tegasnya, inilah pendakwaan terpilih era ‘Malaysia Baharu’ yang kononnya berteraskan ‘Rule of Law’.

“Bercakap pasal pendakwaan terpilih, apa cerita kes rasuah banglo dan terowong Lim Guan Eng ya?” soalnya dalam kenyataan hari ini.

Soal beliau lagi, kenapa hanya dua individu sahaja yang didakwa sedangkan ada 78 lagi individu dalam senarai penerima bantuan untuk PRU-13 daripada mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak termasuk antara penerima terbesar Datuk Seri Mustapa Mohamed sebanyak RM35 juta dan Datuk Mas Ermieyati Samsudin?

“Apakah YB Tok Pa dan YB Emi sudah di’suci’kan apabila mereka telah melompat ke parti Kerajaan PPBM?

“Mengapa tergesa-gesa untuk mendakwa dua tokoh ini, sedangkan dakwaan mereka menerima wang haram daripada Datuk Seri Najib yang kononnya bersumberkan perolehan 1MDB, perlu dibuktikan terlebih dahulu melalui kes pendakwaan Datuk Seri Najib mengenai 1MDB yang sedang berjalan?

“Secara mudahnya katakan saya terima sumbangan daripada Boss saya untuk anjurkan sesuatu program. Apakah saya perlu pastikan duit Boss saya itu adalah bersumberkan hasil yang halal/haram?”

Tegasnya, sekalipun menurut AMLA beliau perlu pastikan, maka Mahkamah perlu mensabitkan dulu bahawa sumber yang disumbangkan itu adalah sumber haram.

“Dalam kes dua tokoh ini, mahkamah belum pun isytihar sumber itu haram, tapi sebagai penerima pihak ketiga sudah secara tergesa-gesa didakwa. Apakah ini adil?”

Dr Asyraf Wajdi adalah antara pemimpin UMNO yang turut hadir ke mahkamah pagi ini bagi memberikan sokongan moral kepada Ahmad Shahrir Samad yang menghadapi pertuduhan menerima wang yang haram di bawah Akta Anti Pengubahan Wang Haram (AMLA). – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.