Undi Warisan Bermakna Sokong PSS, BN Tidak Pernah Luluskan – Ahmad Zahid

KIMANIS, 17 Jan – Jemaah menteri lalu tidak pernah meluluskan Pas Sementara Sabah (PSS) untuk pendatang asing di negeri Sabah, tegas Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menurutnya pada waktu itu jemaah menteri meluluskan agar Tan Sri Pairin Kitingan menjadi Pengerusi Jawatankuasa Teknikal yang membuat saranan atau cadangan daripada RCI untuk menyuarakan apakah cadangan-cadangan yang baharu yang perlu bagi isu tersebut.

“Saya ingin mengesahkan apa yang dinyatakan oleh Tan Sri Pairin malam tadi bahawa cadangan oleh Jawatankuasa Teknikal RCI di Sabah mencadangkan agar diteruskan penghantaran pulang pendatang tanpa izin (PTI) dari Sabah ke negara asal.

“Keduanya peluang pekerjaan, peluang ekonomi, peluang pendidikan mesti diberikan hanya kepada rakyat Sabah. Ketiganya mereka mahu supaya ‘Pass Resident’ yang dicadangkan dalam RCI untuk membezakan di antara pemegang kad pengenalan Sabah dengan pendatang asing harus diasingkan supaya mereka ini ditempatkan sementara di rumah merah atau pusat tahanan sementara.

“Tetapi mereka mencadangkan akhirnya supaya kita bekerjasama dengan GRP – Government Republic Of the Philippines agar satu rancangan masa panjang mesti dibuat untuk menentukan orang-orang yang datang ke negara ini pulang ke negara asal dan kita akan menggalakkan pelabur-pelabur dari Malaysia untuk membantu pembangunan selatan Filipina dan Midanao agar mereka pulang ke kampung halaman dan tidak mengganggu peluang ekokonomi di negara kita,” katanya di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Brunei, semalam.

Ahmad Zahid seterusnya menambah cadangan berkenaan disebutkan kerana ianya ada dalam kertas cadangan.

“Saya sebutkan cadangan ini kerana cadangan ini ada di dalam kertas kerja. Ada dalam laporan dan tidak ada PSS dicadangkan oleh sebab itu kita mahu supaya pengundi Kimanis menolak calon Warisan kerana siapa yang menyokong calon Warisan ertinya menyokong pelaksanaan PSS di Sabah ini,” ujarnya lagi.

Pilihan Raya Kecil Kimanis diadakan susulan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 2 Disember lalu yang mengisytiharkan kemenangan Datuk Seri Anifah Aman ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) sebagai tidak sah dan terbatal. – UMNO Online