Polisi Kerajaan PH Merugikan Negara, Penyebab Malaysia Ketinggalan – Dr Shamsul

KUALA LUMPUR, 14 Jan – Ketua Penerangan UMNO Malaysia Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata mungkin Indonesia akan jauh meninggalkan negara.

Katanya, jika sebelum ini Malaysia di zaman kerajaan Barisan Nasional (BN) sering menjadi negara pilihan untuk pelaburan asing sebaliknya kini ia tidak lagi berlaku, mengambil contoh laporan berita yang menyatakan negara jiran itu kini menjadi pilihan pelabur Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang bernilai 314.9 trilion rupiah (RM93.5 bilion) merangkumi pelaburan dalam tenaga dan sektor lain.

“Kenapa? Indonesia politiknya stabil dan presiden serta kerajaannya diyakini. Indonesia bijak merebut peluang dan merangka masa depan. Mereka tidak bermusuh dengan negara lain.

“Malangnya Malaysia. Situasi politik tidak stabil. Kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak diyakini oleh pelbagai pihak. Pelbagai institusi penting negara; Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Peguam Negara dan sebagainya dilihat pelbagai pihak ada campurtangan kerajaan PH.

“Ekonomi negara tidak diurus dengan baik. Polisi dan dasar negara tidak jelas serta tidak konsisten siapa penentunya,” ujarnya dalam satu hantaran di Facebook.

Lebih malang bidasnya, polisi dasar luar negara merugikan negara.

“Perdana Menteri Malaysia (Tun Dr Mahathir Mohamad) mencipta musuh dengan pelbagai negara. Semua ini merugikan rakyat negara ini.

“Jika ini berterusan, Malaysia akan ketinggalan,” tegas Ahli Parlimen Lenggong itu lagi.

Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sinisnya juga mungkin boleh berbincang dengan Menteri Pemuda dan Olahraga Indonesia Bapak Zainudin Amali untuk memberi peluang anak muda Malaysia bekerja di Indonesia.

“Apatah lagi janji Pilihan Raya Umum Ke-14 (PR-U14) PH untuk sediakan satu juta peluang pekerjaan nampaknya semakin malap,” katanya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.