Ada Agenda Tersembunyi, PH-Warisan Ubah Sistem Pentadbiran…

KIMANIS, 14 Jan – Ketua UMNO Bahagian Beaufort, Mohd Fadzlee Lee Abdullah menganggap pentadbiran Pakatan Harapan (PH) melalui Parti Warisan di Sabah ada agenda tersembunyi apabila mengubah sistem pentadbiran yang telah digunapakai sejak sekian lama.

Beliau mempertikai Rang Undang-undang Perlembagaan Negeri Sabah bagi menghapuskan tempoh perkhidmatan Yang Dipertua Negeri (TYT) Sabah yang jelasnya kerajaan Warisan tidak mengikut peraturan dan perlembagaan negeri dan bukannya berlandaskan tempoh perjawatan yang ditetapkan.

“Dulu kerajaan Barisan Nasional (BN) menggunakan sistem penggiliran etnik dan semua etik merasai jawatan TYT ini tapi kerajaan Warisan cuba melebarkan pentadbirannya untuk memonopoli dalam pentadbiran negeri yang telah diubahnya. Sebagai contoh jawatan TYT tidak lagi dilantik selama dua penggal, sejak penubuhan Malaysia tempoh TYT dilantik dua penggal supaya pimpinan di Sabah dapat bergilir menikmati sebagai TYT.

“Ini amat menyedihkan kerana tiada peluang lagi untuk Kadazan-Dusun memegang jawatan TYT dan bagaimana kita hendak mengembalikan sejarah lama, maka ini amat membimbangkan masyarakat Sabah amnya.

“Dulunya jawatan TYT semua bangsa di Sabah dapat merasainya tetapi kini ia hanya mahukan satu bangsa saja yang menjadi TYT. Warisan ada agenda tersembunyi dalam hal pelantikan TYT tersebut,” katanya dalam Diskusi PRK P176 Kimanis anjuran Penerangan UMNO Malaysia, malam tadi.

Dilaporkan, pada Dis 2018, Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah telah meluluskan pindaan bagi Rang Undang-Undang Perlembagaan Negeri Sabah 2018 yang dibentangkan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal iaitu Pindaan Fasal 3 Perkara 2 berhubung perkara tidak lagi mengehadkan tempoh perkhidmatan TYT Sabah.

Sementera itu menurut Ketua Adat Istiadat Mukim Kimanis, Pailin Along pula meminta rakyat Sabah menolak Pas Sementara Sabah (PSS) bagi Pendatang Tanpa Izin (PTI) yang berada di bumi Sabah ini.

“Kami minta PSS ini ditolak oleh rakyat Sabah, sekiranya diteruskan kemungkinan anak-anak cucu kita akan menjadi pelarian di negeri sendiri. PSS ini adalah di sebalik agenda Warisan.

“Apabila menanam padi yang sedikit ia akan terus melebar. Kalau membakar api… api yang kecil ia menjadi kawan dan apabila besar kita akan dibakar,” tegasnya.

Jelasnya, Sabah akan terbakar sekiranya PSS ini diteruskan dan ini sangat merbahaya kerana isunya bukannya kecil sebaliknya akan menenggelamkan Sabah sekiranya perkara ini berterusan.

“Tujuan PSS ini dibuat sebenarnya ingin terus mereka (PTI) ini menetap dan ini amat membimbangkan rakyat Sabah dan suatu ketika nanti rakyat Sabah akan menjadi pelarian di negeri sendiri.

“Kalau mereka masuk tanpa dokumen dan melakukan kesalahan jenayah dan ini menjadi kerisauan rakyat Sabah. Sekiranya mereka mahu bekerja… ikutlah saluran yang betul,” katanya.

Soalnya lagi, kenapa PTI diberi keistimewaan untuk PSS dan terus menetap di bumi Sabah sedangkan wujud undang-undang sedia ada. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.