Wanita UMNO Kecam Tindakan SPRM Dedah Audio

KIMANIS, 11 Jan – Wanita UMNO mengecam tindakan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Latheefa Koya yang mendedahkan rakaman audio kononnya konspirasi jenayah tertinggi membabitkan perbualan tujuh individu termasuk bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Ketuanya Datuk Dr. Noraini Ahmad berkata, tindakan tersebut telah mencalar imej SPRM yang penuh berintegriti.

“Apakah tidak ada seorangpun individu yang bertauliah bagi menasihati ketua mereka yang jelas telah dipengaruhi oleh kuasa politik?

“Harus diingat bahawa SPRM adalah satu badan berkecuali dan tidak sepatutnya ada campur tangan politik yang akhirnya mengundang rasa tidak percaya rakyat kepada badan ini.

“Justeru Wanita UMNO menyarankan agar Latheefa mengkaji dan memahami Akta SPRM sebelum membuat seauatu perkara yang akan menyebabkan badan berkecuali ini dikecam oleh rakyat,” jelas beliau menerusi satu kenyataan media.

Tambah Noraini, Wanita UMNO juga mendesak agar jawatan ketua SPRM segera diganti kerana ketua yang ada kini gagal menjalankan amanah yang diberikan dengan baik malah kesalahan yang dilakukan ini adalah sesuatu yang tidak dapat diterima.

“Tindakan Latheefa ini bukan sahaja memalukan SPRM tetapi juga merosakkan hubungan baik antara Malaysia dan UAE,” bidas Noraini.

Sejak SPRM mendedahkan rakam audio tersebut, pelbagai pihak telah mengecam tindakan tersebut kerana ia dilihat sebagai satu tindakan yang tidak bermaruah dan menyalahi undang-undang.

Untuk rekod, Akta SPRM 694 65 (1) Tertakluk kepada subseksyen (2), jika apa-apa aduan yang dibuat oleh seseorang pegawai Suruhanjaya menyatakan bahawa aduan itu dibuat berbangkit daripada maklumat yang diterima oleh pegawai yang membuat aduan itu, maklumat yang disebut dalam aduan itu dan identiti orang yang daripadanya maklumat itu diterima hendaklah menjadi rahsia antara pegawai yang membuat aduan itu dengan orang yang memberikan maklumat itu, dan segala-gala yang terkandung dalam maklumat itu, identiti orang yang memberikan maklumat itu dan segala hal keadaan lain yang berhubungan dengan maklumat itu, termasuk tempat maklumat itu diberikan, tidak boleh didedahkan atau diperintahkan atau dikehendaki supaya didedahkan dalam mana-mana prosiding sivil, jenayah atau yang lain dalam mana-mana mahkamah, tribunal atau pihak berkuasa lain.

(2) Jika apa-apa buku, kertas atau dokumen lain, atau apa-apa rakaman tampak atau bunyi, atau benda atau bahan lain yang diberikan sebagai keterangan atau yang boleh diperiksa dalam mana-mana prosiding sivil, jenayah atau yang lain dalam mana-mana mahkamah, tribunal atau pihak berkuasa lain sebagaimana yang disebut dalam subseksyen (1) mengandungi apa-apa catatan atau benda lain yang menamakan atau memperihalkan atau menunjukkan mana-mana orang yang memberikan maklumat itu, atau yang mungkin membawa kepada penzahiran identitinya, mahkamah yang di hadapannya prosiding itu diadakan hendaklah menyebabkan segala bahagian dokumen, rakaman, benda atau bahan itu atau petikan dalamnya disembunyikan daripada pandangan atau dipadamkan atau selainnya dihapuskan setakat yang perlu untuk melindungi identiti orang itu daripada terzahir. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.