Ulangi Tanjung Piai Di Kimanis, Kerajaan PH Amat Suka Berpolitik Daripada Mentadbir
KUALA LUMPUR, 10 Jan – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layang-layang, Datuk Onn Hafiz Ghazi menyeru pengundi-pengundi di Kimanis agar jangan disibukkan dengan sentimen anti-semenanjung yang dimainkan segelintir pihak dan pemberian insentif yang turun hanya pada musim Pilihan Raya Kecil (PRK).
Katanya, PRK bagi kawasan tersebut adalah peluang untuk mengulangi kemenangan Barisan Nasional (BN) sebelum ini di dalam Pilihan Raya Umum (PRU) dan juga beberapa siri PRK di beberapa kawasan lain.
“Bukan kerana BN itu sendiri, tetapi kerana nasib hidup rakyat dan kesejahteraan mereka langsung tidak berubah, malah lebih teruk dari dahulu.
“Maka hantarlah memorandum Kimanis ke Putrajaya – untuk 608 hari kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang tidak semengah mana ini,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Jelasnya lagi merujuk kepada kemenangan BN di PRK Tanjung Piai sebelum ini, ia adalah satu penolakan rakyat terhadap kerajaan PH di mana dengan memperolehi majoriti yang begitu besar dan tidak pernah berlaku calon wakil kerajaan dikalahkan sebegitu rupa.
“Kini pula, PRK Kimanis sedang berlangsung. Sudah pasti tempat dan konteks tempatan di situ menjadikan PRK kali ini berlainan dari PRK Tanjung Piai dan juga yang lain-lain.
“Namun begitu, asas kepada ‘democratic exercise’ atau amalan demokrasi di Malaysia adalah satu dan tetap sama – rakyat mempunyai kuasa untuk menzahirkan ketidakpuasan hati mereka kepada kerajaan. Ia dilakukan dengan cara yang paling aman dan beradab.
“Yang jelas, kerajaan PH amat suka berpolitik daripada mentadbir. Misalnya, dapatan daripada kajian National Worry Index yang dikeluarkan oleh EMIR Research seakan dipandang sepi, meskipun menunjukkan “kebimbangan melampau” dalam kalangan warga.
Ulasnya, menurut kajian tersebut, 50% berasa tidak pasti bahawa negara berada di landasan yang betul manakala 24% pula mengatakan tidak.
“Selain itu, 46% merasakan tidak pasti sama ada kerajaan PH adalah kerajaan yang berdaya maju dan 30% pula berpendapat tidak sama sekali.
“Sudah terang lagi bersuluh, persepsi rakyat terhadap kerajaan PH tidaklah sama seperti tsunami sokongan yang mereka terima pada PRU-14 lalu. Keadaan sudah berubah, dan kerajaan PH juga sepatutnya berubah. Mereka bukan lagi pembangkang yang dilatih untuk berpolitik dan bermain propaganda setiap masa. Mereka sekarang adalah pentadbir Malaysia.
“Maka masalah ‘the perut economy’ yang disuarakan oleh CEO EMIR Research sendiri seperti – soal kos sara hidup, perumahan mampu milik, kos pembiayaan asas kesihatan, pengangguran dalam kalangan orang muda dan hutang yang terpaksa mereka ambil bagi menanggung kos kehidupan seharian adalah wajib untuk diberikan perhatian oleh PH,” katanya.
Jika tidak tegasnya, lebih banyak ketidakpuasan rakyat bakal dihalakan ke Putrajaya sama ada di PRK, sosial media, mahupun cakap-cakap kedai kopi. – UMNO ONLINE