Pelaksanaan PSS Seperti Ada Agenda Tersembunyi – Kamarlin

MEMBAKUT, 10 Jan – Rakyat Sabah terutama pengundi-pengundi di Kimanis masih keliru dengan isu Pas Sementara Sabah (PSS) yang ketika ini hangat dibualkan sepanjang kempen.

Ketua UMNO Bahagian Sipitang, Datuk Kamarlin Ombi berkata, rata-rata rakyat yang ditemui melahirkan rasa keliru dengan isu PSS kerana banyak kenyataan bercanggah mengenai perkara itu daripada pihak kerajaan.

Katanya, menurut kenyataan Datuk Peter Anthony, PSS digunakan untuk memburu warga asing di negeri ini dan setelah itu, tindakan menghantar pulang warga asing dapat dilaksanakan.

Namun disebalik itu, kelihatan seperti ada agenda tersembunyi kerana pemegang kad PSS boleh memperbaharui kad tersebut untuk tempoh tiga tahun sedangkan tujuan utamanya adalah untuk merekod warga asing kemudian menghantar pulang ke negara masing-masing.

“Di sini pun sudah nampak keliru. Kalau hanya untuk mengenal pasti kemudian dihantar pulang ke negara masing-masing, mengapa perlu kad tersebut diberikan tempoh sehingga tiga tahun.

“Tangkap, kemudian hantar balik. Tidakkan perlu tunggu sampai tiga tahun baru mahu hantar mereka ke negara asal, ” katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan perjumpaan bersama jentera BN di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Sinoko, semalam.

Dalam perkembangan sama, Kamarlin turut melahirkan rasa bimbang mengenai pelaksaan PSS kerana beliau khuatir ia akan memberi kelebihan kepada warga asing daripada rakyat tempatan.

“Ini kerana terdapat kenyataan yang menegaskan bahawa pemegang PSS nanti dibenarkan untuk bekerja di negeri ini dan sudah tentu perkara tersebut akan menjejaskan pekerjaan anak-anak tempatan.

“Situasi ini membuatkan pengundi muda terutama anak-anak tempatan di negeri ini bimbang dengan masa depan mereka terutama sekali dalam sektor pekerjaan memandangkan ketika ini peluang untuk mendapatkan kerja agak susah.” – UMNO ONLINE

Oleh: Kenneddy Corlleus

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.