SPR Perlu Buktikan Mereka Benar-Benar Bebas Laksana Undang-Undang – Ismail Sabri

KIMANIS 8 Jan – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu membuktikan mereka sebenarnya adalah sebuah agensi yang benar-benar bebas dalam mengendalikan proses pilihan raya khususnya dalam tempoh berkempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata apa yang berlaku bukan sahaja di Kimanis malah sejak bermulanya PRK-PRK sama ada di Selangor telah pun berlaku penyalahgunaan kuasa dan perlanggaran Akta Pilihan Raya dalam tempoh berkempen.

“Di Cameron Highlands jelas berlaku pemberian hadiah dan sebagainya dan kita telah buat laporan termasuk calon Dap yang memakai lambang parti yang masuk melebihi daripada 50 meter. Selepas itu PRK Semenyih saya Pengarah Pilihan Raya waktu itu saya dapat terima suRat edaran daripada SPR perkara-perkara yang tidak boleh dilakukan.

“Tidak boleh ada konsert, tidak boleh ada jamuan, tidak boleh ada hadiah dan semua perkara itu dilakukan oleh Pakatan Harapan (PH). Tidak ada satu pun tindakan yang diambil teruslah di Rantau sehingga Tanjung Piai dan sekarang ini berlaku pula di Kimanis.

“Menteri Pertanian mengumumkan peruntukan untuk pembinaan rumah nelayan dan sebagainya. Pelbagai perkara dilakukan dan saya difahamkan bermacam-macam lagi perkara lain dilakukan dan kita di pihak BN akan buat laporan polis seperti biasa,” katanya kepada media selepas berceramah di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kabang, di sini malam tadi.

Kata beliau lagi perkara sedemikian sudah dijangka dan SPR yang sepatutnya merupakan badan bebas dilihat tidak bebas bukan sahaja di Kimanis malah dalam PRK-PRK sebelum ini.

“Jadi sebenarnya saya nampak SPR ini tidak boleh mengatakan badan bebas lagi kalau inilah cara mereka bertindak sebab waktu di Tanjung Piai apabila mereka tahu mereka akan kalah dalam pilihan raya, memperkenalkan peraturan baru iaitu berkempen dari rumah ke rumah memerlukan permit walaupun perkara berkenaan tidak ada pun di dalam Akta Kesalahan Pilihan Raya.

“Dan selepas saya membuat kenyataan akhbar, Pengerusi SPR tidak setuju dengan saya tetapi Alhamdulillah esoknya Peguam Negara mengatakan tidak boleh meminta daripada pihak kita untuk mendapatkan permit untu pergi rumah ke rumah.

“Maknanya apa yang dilakukan oleh pihak SPR menunjukkan bahawa bukan merupakan badan bebas tetapi masih lagi tertakluk kepada arahan daripada kerajaan. Saya harap perkara ini tidak benar tetapi pihak SPR mesti membuktikan bahawa mereka benar-benar badan bebas. Kalau tidak rakyat juga tidak akan percaya kepada SPR lagi selepas ini,” ujarnya.

Terdahulu sebelum itu dalam ucapannya, Ismail yang juga Naib Presiden UMNO memberitahu PRK Parlimen Kimanis ini cukup penting dan hari ini seluruh negara tertumpu di kawasan ini.

“Orang lain tidak boleh buktikan menerusi peti undi… mereka hanya sekadar boleh ‘menumbuk meja’ kedai kopi … bergegar marah kepada kerajaan tetapi tidak boleh buat apa-apa. Yang boleh tunjukkan rasa marah sekarang ini adalah pengundi di Kimanis.

“Orang Sabah harapkan pengundi di Kimanis untuk membawa suara mereka di kertas undi… begitu juga orang Semenanjung mengharapkan pengundi Kimanis membawa suara mereka di kertas undi dengan mengundi calon BN, Datuk Mohamad Alamin.

“Dan kalau nak bantu perbanyakkan suara pembangkang Sabah di Parlimen inilah masanya. Jangan biarkan Datuk Bung keseorangan berjuang. Kita tambah lagi satu suara dan satu yang ditambah itu adalah daripada Kimanis. Banyak perkara yang boleh dibawa dan Datuk Moh layak bawa suara orang Sabah,” tambahnya lagi.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.