Tahun 2020, Tiada Harapan Baru Dari PH Untuk Rakyat – Ismail Sabri


KUALA LUMPUR, 31 Dis – Ketua Pembangkang Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata rakyat Malaysia ternanti-nanti tibanya 1 Januari 2020 dengan persoalan adakah apa yang mereka gambarkan selama ini menjadi nyata menjelang tahun 2020?

Katanya, pelbagai imaginasi yang direka oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang menabur harapan palsu kepada rakyat Malaysia sehinggakan rakyat Malaysia membayangkan tahun 2020 sebagai negara progresif dengan adanya kereta terbang, pendidikan percuma untuk semua golongan, sejuta peluang pekerjaan serta berbagai-bagai lagi imaginasi palsu yang telah direka-reka oleh kerajaan PH.

“Rakyat Malaysia sudah banyak derita akibat dari kegagalan dan kekejaman PH. Bermula dari nelayan, penoreh getah, pesawah, pekebun sawit sehinggalah kakitangan awam kerajaan.

“Kerajaan PH gagal membela nasib rakyat dan perancangan kerajaan PH melalui belanjawan 2020 hanyalah mengutamakan kepentingan kepada pemodal dan pelobi (kroni) yang langsung tidak menguntungkan rakyat.

“Kerajaan PH masih gagal membela nasib nelayan hatta pendapatan warga nelayan juga semakin hari semakin berkurangan. Lebih buruk, bantuan sara hidup nelayan telah pun dikurangkan. Kita tidak nampak sedikit pun sinar untuk warga nelayan menjelang 2020 ini,” katanya dalam kenyataan menjelang tahun baru 2020.

Jelas beliau, peneroka sawit pula menempuhi episod malang apabila berhadapan dengan isu boikot daripada negara-negara import seperti India, hingga menyebabkan harga sawit mentah tidak malar dan tidak konsisten.

“Kenaikan harga sawit di dalam bulan ini yang digembar-gemburkan bukan lah merupakan kenaikan harga kerana usaha dan tindakan kerajaan PH tetapi kerana kekurangan pengeluaran buah sawit akibat musim melawas iaitu pengeluaran buah sawit berkurangan (permintaan melebihi penawaran).

“Menteri yang tidak faham tentang industri sawit berbangga dengan keadaan tersebut sedangkan keadaan sebenar adalah pendapatan pekebun sawit tidak berubah kerana hasil tuaian buah sawit yang berkurangan.

“Bagi penoreh getah, harga getah masih pada tahap yang rendah. Tidak ada kenaikan malah lebih malang lagi Peruntukan Lembaga Getah Malaysia dipotong sepenuhnya! Bagaimana aktiviti R&D dari segi mutu getah akan berjalan dengan baik pada tahun 2020?”

Soal beliau, apa khabar penduduk Kg. Sg Kedondong Paya Jaras Hilir dan apakah pada tahun 2020 ini, episod roboh rumah penduduk kampung berulang semula dan berapa ramai lagi yang bakal menerima nasib sama seperti penduduk Kg Sg Kedondong Paya Jaras Hilir?

“Bagaimana pula dengan nasib penduduk di Kampung Baru? Musuh mereka adalah kerajaan PH sendiri yang mahu mengambil hak mereka tanpa persetujuan.

“Kegagalan PH yang terbesar sekali apabila negara Malaysia menghadapi kelembapan ekonomi yang terburuk dalam sejarah dimana hibah Tabung Haji dari 6% cuma tinggal 1.25%, dividen LTAT dari 12.5% diagihkan cuma tinggal 2%.

“Yang hairannya, Boustead Holdings yang merupakan aset terbesar LTAT telah menjual Hotel Royal Chulan di Bukit Bintang kepada syarikat Singapura. Kemana perginya wang jualan tersebut? Terbaru, dividen ASB paling rendah dalam sejarah iaitu dari 7% cuma tinggal 5.5%.”

Tambahan pula, katnya, peniaga-peniaga dan usahawan kecil semakin bimbang apabila ‘purchasing power’ atau kuasa beli rakyat Malaysia semakin berkurang.

“Perniagaan mengalami kerugian dan ada juga yang terpaksa menutup perniagaan akibat kerugian yang sangat teruk. Cukai SST yang dikembalikan juga tidak mampu mengurangkan harga barang malah menyebabkan ekonomi fiskal bergerak sangat perlahan dibawah pentadbiran PH.

“Dari segi diplomasi, kerajaan PH masih lagi tidak sedar diri dan ego hingga menimbulkan salah faham dan persengketaan dengan negara-negara luar.

“Berapa banyak negara luar memboikot Malaysia semasa KL Summit 2019, tidak termasuk isu-isu komoditi yang menjadi barah diplomasi kepada negara. Oleh kerana keegoan PH, rakyat lah terpaksa menanggung rugi.”

Lebih khuatir, katanya, aset-aset negara yang semakin hari semakin berkurangan terutama sekali aset-aset Khazanah Nasional Berhad.

“Agaknya tahun 2020, apakah PH akan terus menerus membuat ‘lelongan’ selagi mereka PH terus mentadbir? Sudah hampir dua tahun pemerintahan, mereka masih lagi tidak memikirkan cara yang sistematik dan efektif untuk mengurus aset serta kewangan negara dengan betul.

“Kakitangan awam kerajaan terus menerima tekanan yang membimbangkan iaitu 5% perjawatan awam akan dikurangkan, pemansuhan elaun kritikal, pemansuhan skim pencen dan berbagai lagi.

“Anggota polis juga tidak terlepas dari cengkaman ketidakadilan PH apabila mereka mahu menubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC). Namun, IPCMC segera ditentang oleh pihak pembangkang kerana penubuhan ini sangat jelas mencerminkan ketidakadilan buat anggota polis di negara kita.”

Katanya, kehormatan perlembagaan negara juga dicarik-carik begitu sahaja dengan isu bendera Malaysia diterbalikkan, nyanyian Negaraku dinyanyikan dalam versi Mandarin, dan isu penyebaran komik propaganda ideologi Komunis disebarkan disekolah-sekolah.

“Mereka mencarik kehormatan negara tanpa memikir sensitiviti rakyat Malaysia yang majoritinya adalah berbangsa Melayu dan Islam termasuklah membuat bantahan terhadap tulisan Jawi oleh persatuan rasis sempit Dong Jiao Zong.

“Adalah lebih memalukan, adanya penglibatan pemimpin DAP dalam kegiatan kumpulan pengganas Harimau Kebangkitan Tamil Eelam (LTTE) dan masih ada pemimpin tertinggi DAP yang terkait DAP yang belum ditangkap dan didakwa.

“Hakikat yang paling besar namun pahit untuk ditelan adalah PH sebenarnya didominasi oleh chauvinist DAP dan sekutu mereka yang sangat ekstremis dan rasis.”
Tegasnya, Perdana Menteri dan Menteri Melayu yang lain hanyalah sekadar boneka kepada Dap dalam menentukan apa jua keputusan penting negara termasuk penguasaan Dap kepada kewangan dan agihan kekayaan negara.

“Peguam Negara Tommy Thomas juga sangat kebal dan gemar membuat keputusan yang berat sebelah yang condong kepada Dap, hingga banyak kes-kes yang memperlihatkan kegagalan Peguam Negara untuk adil, telus dan saksama.

“Tahun 2019 menyaksikan arena sukan tanah air melakar pelbagai cerita suka duka tersendiri atlet negara. Secara keseluruhannya, prestasi sukan Malaysia lebih teruk apabila kontinjen negara gagal mencapai sasaran 70 pingat emas pada Sukan SEA ke-30 di Filipina.

“Belum sempat rakyat menghembuskan nafas lega, berbagai lagi khabar buruk yang membawa derita kepada rakyat pada tahun 2020 iaitu pengumuman penangguhan program subsidi petrol, cukai digital 6%, levi ke luar negara, kenaikkan tarif elektrik & air dan lain-lain.”

Ujar beliau yang juga Ahli Parlimen Bera, memasuki tahun 2020 ini juga, keadilan buat kematian arwah Adib masih lagi tertangguh.

“Pembunuh masih belum ditangkap dan peristiwa yang menimpa arwah Adib akibat rusuhan yang merobek keharmonian negara kini semakin dilupakan kerajaan.

“Namun, saya harap agar rakyat terus bangkit bersama-sama pembangkang agar suara rakyat berjaya mematahkan setiap niat kezaliman dan kebrobokan kerajaan PH terhadap rakyat dan negara.

“Tiada perubahan baik dan positif dipamerkan semenjak wujudnya kerajaan baharu, sebaliknya yang wujud hanyalah kerosakan dan kepahitan yang terpaksa ditelan.”
Katanya, walaupun tahun 2020 adalah tahun Wawasan 2020 namun tidak ada harapan baru untuk rakyat.

“Ekonomi terus lemah, ketidaktentuan politik terus berterusan tanpa noktah, keyakinan pelabur terus menjunam. Pengumuman yang diharap boleh mengubah situasi tidak kedengaran.

“Saya yakin tahun 2020 akan terus membawa mimpi buruk kepada rakyat Malaysia.

“Namun begitu saya tetap juga ingin mengucapkan ‘selamat tahun baru’ kepada seluruh rakyat Malaysia,” katanya lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.