Tahun 2020 Bakal Disambut Ngeri, PH Gagal Selami Permasalahan Rakyat

KUALA LUMPUR, 31 Dis – Naib Ketua Pemuda UMNO Selangor, Amin Mohd Shukor berkata, tahun 2020 yang bakal menjelang tiba akan menjadi tahun ngeri buat rakyat kerana sejak pentadbiran Pakatan Harapan (PH) tiada satu pun yang menarik sebagai buah tangan kerajaan untuk rakyat selain semakin teruk.

Katanya, kesan dan implikasi langsung ini akan memberikan tamparan hebat kepada seluruh kitaran rakyat ekoran sikap ‘pro kapitalis’ kerajaan PH dan Wawasan 2020 yang selama ini digembar-gemburkan kehebatannya hanya akan melakar sejarah hitam kepada seluruh rakyat Malaysia.

“Tindakan menaikkan harga minyak setiap minggu (walaupun ditangguhkan bukan dibatalkan) jelas akan jadi malapetaka besar kepada punca segala kenaikan harga barang dan punca asas kepada golongan yang akan mengambil kesempatan terhadap kesusahan rakyat. Kesan ini akan lebih merugikan rakyat kebanyakan dan ini langsung tidak dipertimbangkan oleh kerajaan.

“Selain itu caj klinik dan pergigian yang bakal naik juga akan menjadikan rakyat sebagai hamba golongan kapitalis yang hanya mementingkan untung semata-mata. Sektor ini seharusnya menjadi antara segmen yang membantu kebajikan rakyat, tetapi kini bakal membebankan rakyat pelbagai kaum dalam Malaysia ini. Kepentingan ini jelas akan menguntungkan kapitalis-kapitalis yang bakal mengambil kesempatan,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Tambah Amin, tarif air yang juga naik pada 2020 tanpa usul periksa bakal secara jelas menambah bala kepada rakyat.

“Seharusnya kerajaan membuat kajian terpeinci akan hal ini. Kerajaan perlu memikirkan kaedah dan susun atur yg lebih effektif. Kenaikan ini bakal menjejaskan golongan B40 yang sudah sedia susah dihimpit polisi kerajaan PH yang amat menyusahkan.

“Satu lagi yang bakal naik adalah kos perkhidmatan pos. Ini juga akan menjadikan rakyat yang saban hari susah akan terus bertambah susah. Kerajaan perlu sedar dan faham segmen kepenggunaan yang menjadi pengguna tetap bagi segmen ini.

“Kebanyakan rakyat menggunakan perkhidmatan ini kerana murah, mudah dan fleksibel di seluruh pelusuk tanah air. Kenaikan ini diambil kesempatan selaras cukai digital yang saling ada kebergantungan, ini jelas membebankan.

“Kenaikan cukai digital sebanyak 6 peratus juga saya lihat sebagai usaha rakus kerajaan selain kos perkhidmatan pos. Kebanyakan usahawan Malaysia menggunapakai kaedah digital ini sebagai medium penambah pendapatan mereka. Pertambahan peratusan penggunaan saban hari kaedah digital ini kerana kaedah ini lebih mudah dan cepat dalam pemasaran produk.”

Seharusnya kata beliau, kerajaan mempermudahkan urusan usahawan sedia ada, menyediakan susun atur asas yang boleh ditambah baik bukan mengambil ‘kesempatan’ terhadap rakyat yang semakin dihimpit kesusahan.

“Bayangkan bebanan kos digital dan pos ini naik sekaligus kerana kita semua perlu tahu kebergantungan peniaga online/digital ini berkait rapat dengan pos bagi tujuan penghantaran barangan.”

Bidas beliau lagi, kerajaan pimpinan PH dilihat hanya mengambil kesempatan kepada pertumbuhan segmen-segmen tersebut. Rakyat seharusnya diberikan panduan dan galakan dalam membantu pertumbuhan negara, bukan diperah keringat diambil kesempatan secara paksa rela.

“Ketika GST dihapuskan secara gelojoh oleh kerajaan PH (sedangkan diakui kebaikannya oleh banyak negara lain) kelihatan kerajaan PH hilang punca pendapatan terbesar. Akibatnya kerajaan yang kurang cerdik ini tidak mampu untuk memikirkan alternatif terbaik selain memanipulasi rakyat jelata.

“Bagi saya, kerajaan PH ini ego dan sombong bodoh dalam mengakui kekurangan dalam tadbir urus. Akibat kesan fitnah dan pembohongan yang menjadi ‘gula-gula’ manifesto kerajaan PH pada PRU-14 yang lalu, kini sedikit demi sedikit fitnah itu sedang ‘memakan’ diri mereka.

“Cuma yang amat menyedihkan adalah rakyat dijadikan mangsa oleh kerakusan sebuah kerajaan yang dibina dari asas fitnah dan pembohongan,” tegas beliau. – UMNO-ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.