Teruskan Projek Bandar Malaysia: Terbukti PH Pemfitnah, Harus Mohon Maaf


TEMERLOH, 23 Dis – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, tindakan kerajaan di bawah pimpinan Pakatan Harapan (PH) meneruskan projek Bandar Malaysia jelas membuktikan bahawa mereka adalah penfitnah.

Jelas beliau, ini kerana dahulu pemimpin PH tanpa bersalah menuduh dan mempengaruhi rakyat kononnya Barisan Nasional (BN) mahu menjual negara kepada negara China sehingga akhirnya rakyat tertipu dan menyebabkan BN tewas pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang lalu.

“Kini bila mereka berkuasa, projek ini diteruskan semula, maka terbuktilah apa yang Datuk Seri Najib lakukan dulu adalah betul untuk kebaikan negara. Sekarang mereka hanya ‘salin kulit’, tebalkan muka dan mengakui projek ini menguntungkan negara.

“Sepatutnya mereka harus memohon maaf bukan sahaja kepada Datuk Seri Najib tetapi kepada seluruh rakyat Malaysia kerana telah menipu. Pemimpin PH juga harus mengakui mereka menabur fitnah hanya kerana mahu menjatuhkan BN dalam PRU-14 dan kemenangan mereka adalah hasil penipuan,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Tambah Sharkar, inilah antara satu lagi faktor yang harus rakyat kaji dan teliti seterusnya menolak PH pada PRU-15 nanti.

“Sudah terang lagi bersuluh… mereka penipu, mereka kaki fitnah. Ini bukan kali pertama mereka ‘u-turn’. Belum sampai dua tahun, telah pelbagai perkara yang mereka terpaksa ‘telan’ dan akui bahawa apa yang BN lakukan dulu untuk kerajaan dan negara adalah yang terbaik.

“Sebab itu mereka hanya ‘re-branding’ dan meneruskan hasil usaha BN. Inilah yang dikatakan, sapi punya susu, lembu yang dapat nama… Datuk Seri Najib yang mengilhamkan bandar Malaysia tetapi PH yang tuntut nama,” bidas beliau.

Kerajaan Persekutuan baru-baru ini memutuskan untuk meneruskan semula projek Bandar Malaysia, yang sebelum ini dihentikan sejak Mei 2017.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir berkata, keputusan meneruskan semula projek berkenaan dibuat selepas Putrajaya meneliti bahawa kerajaan turut mempunyai saham dalam syarikat pemaju projek berkenaan dan ia bukan sepenuhnya milik China. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.