Pemimpin PH Perlu Kurangkan Ego… Negara Lain Buat Kawan Bukan Musuh – Ismail Sabri

 

KUALA LUMPUR, 23 Dis – “Kurangkan ego… buat kawan dan bukan buat musuh,” ujar Ketua Pembangkang Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Jelas beliau, sebagai sebuah negara yang bergantung kepada hasil dagangan, maka Malaysia tidak sepatutnya bergaduh dengan negara luar kerana ia akan mengakibatkan masalah ekonomi yang sememangnya sedang meruncing.

“Malaysia terlalu kecil untuk hanya bergantung kepada permintaan dosmestik. Sebab itu Malaysia bergantung kepada negara luar yang membeli… kalau kita menghantar produk ke luar tetapi tidak ada yang mahu membeli maka tidak ada maknanya. Sebagai sebuah negara dagangan, Malaysia terlalu bergantung kepada rakan-rakan di negara luar, sebab itu kita tidak sepatutnya memusuhi atau mencari sebab untuk bermusuh dengan negara lain.

“Tapi yang yang berlaku sekarang ini, kenyataan pemimpin kita mengundang rasa tidak puas hati daripada negara lain. Sebagai contoh kenyataan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad dengan negara India. Sudah dua kenyataan yang silap.

“Pertama, apabila mengatakan India menakluki atau menceroboh Kashmir sedangkan peraturan yang diperkenalkan adalah Kashmir dalam India. Tidak ada soal penaklukan dan sebagainya, mungkin undang-undang yang diperkenalkan tidak sesuai tetapi kenyataan yang mengatakan Kashmir diceroboh atau ditakluki adalah salah,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Mengulas lebih lanjut Ismail berkata, kenyataan terbaru Tun M mengenai kritikan terhadap Akta Pindaan Kewarganegaraan (CAA), disifatkan oleh India adalah tidak tepat dan tidak sensitif.

“Saya tidak begitu jelas tetapi saya difahamkan apa yang dimaksudkan dengan kerakyatan ini adalah India membuka negara mereka kepada minoriti bukan Islam di negara Islam yang berjiran iaitu di Pakistan, Afganistan dan Bangladesh. Maknanya, mana-mana orang bukan Islam seperti Hindu, Kristian yang ingin berhijrah ke India, ingin menjadi warganegara India, mereka buka atas alasan memberi ruang berpindah daripada negara yang memberi tekanan kepada yang bukan beragama Islam… itu yang saya difahamkan.

“Tetapi apapun, kita tidak boleh terlalu mencampuri urusan negara lain lebih-lebih lagi kita sebagai negara Asean yang mengamalkan konsep bebas dan berkecuali. Kita tidak boleh terlalu campur tangan dalam hal yang berlaku dalam negara lain terutama yang melibatkan urusan dalaman negara tersebut.

“Sebab itulah saya lihat, tindakan yang dilakukan oleh pemimpin PH ini tidak baik untuk negara kita khususnya untuk ekonomi negara kerana perdagangan kita bergantung kepada negara luar. Apabila kerajaan India memanggil Duta Malaysia bagi meyampaikan bantahan, dari segi hubungan diplomatik, ia membawa makna yang serius,” tegas beliau.

Justeru, Ismail melahirkan kebimbangan sekiranya India mengambil tindakan balas terhadap Malaysia.

“Yang membimbangkan saya adalah 4.1 juta tan minyak sawit yang dieksport ke India… ia bernilai lapan ke sembilan billion ringgit. Kalau India mengambil tindak balas bagaimana? Dulu hanya persatuan industri sawit bertindak balas dengan melancarkan kempen boikot tapi kalau kerajaan India bertindak balas dengan memberi arahan untuk menghentikan import, maka ia akan memberi kesan yang amat besar dan yang menanggung akibatnya adalah rakyat.

“Satu ketika kita ada masalah dengan China… kini dengan India. Dalam KL Summit 2019 baru ini pula, pemimpin yang datang mempunyai hubungan yang tidak baik dengan US misalnya… kita pun tidak tahu apa kesan tindak balas US kepada kita. Arab Saudi… rakan yang sangat akrab dengan kita, tetapi akibat daripada KL Summit, Arab Saudi juga nampaknya kurang senang dengan tindakan kita dan saya bimbang jika ada tindak balas dari Arab Saudi.

“Kalau perkara ini berlaku, apa akan jadi dengan Malaysia. Sebab itu saya amat berharap, para pemimpin kita buang ego. Benar… hak bersuara adalah hak semua tapi dalam masa yang sama kita perlu fikirkan masa depan negara,” tegas beliau lagi.

Baru-baru ini, Kerajaan India memanggil Pesuruhjaya Tinggi Malaysia susulan kritikan Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap penggubalan undang-undang baharu kewarganegaraan negara itu yang disifatkan tidak betul dan memudaratkan.

Memetik laporan akhbar Times of India, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia itu dipanggil untuk dimaklumkan bantahan kerajaan India yang menganggap kritikan Tun terhadap CAA adalah tidak tepat dan tidak sensitif. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.