Pembaharuan Pilihan Raya: Jangan Langgar Hak Asasi Dalam Berdemokrasi – Tok Mat


KUALA LUMPUR, 21 Dis – Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan mengalu-alukan sebarang pembaharuan munasabah ke arah mengukuhkan sistem demokrasi.

Tetapi tegasnya, ia janganlah bertentangan dengan kelaziman amalan pilihan raya di negara ini.

“Sebarang pembaharuan perjalanan pilihan raya juga tidak boleh sama sekali menghakis atau melanggar hak asasi dalam berdemokrasi,” katanya dalam satu kenyataan.

Mohamad yang lebih dikenali sebagai Tok Mat mengulas mengenai tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang akan melaksanakan beberapa cadangan dari Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihanraya, atau Electoral Reform Committee (ERC) sebagai sebahagian dari reformasi atau pembaharuan amalan pilihan raya.

Ulas Tok Mat juga, janganlah kekalahan dalam empat siri Pilihan Raya Kecil (PRK) menjadikan kerajaan Pakatan Harapan (PH) begitu gerun dan gundah sehingga mencadangkan pembaharuan yang sangat tidak selari dengan kepentingan demokrasi Malaysia.

Berikut merupakan kenyataan penuh Mohamad:

Saya dimaklumkan bahawa SPR akan melaksanakan beberapa cadangan dari Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya, atau Electoral Reform Committee (ERC) sebagai sebahagian dari reformasi atau pembaharuan amalan pilihan raya.

Saya mengalu-alukan sebarang pembaharuan munasabah ke arah mengukuhkan sistem demokrasi tetapi ia janganlah bertentangan dengan kelaziman amalan pilihan raya di negara ini.

Sebarang pembaharuan perjalanan pilihan raya juga tidak boleh sama sekali menghakis atau melanggar hak asasi dalam berdemokrasi.

ERC dilaporkan akan mencadangkan sistem “Perwakilan Berkadar” dan memansuhkan PRK.

Kefahaman umum ialah “Perwakilan Berkadar” merupakan suatu sistem atau pilihan raya di mana keputusan akhir pilihan raya adalah berdasarkan kepada agihan undi yang diperolehi oleh setiap parti.

Misalnya, jika parti A menang 50% undi keseluruhan pilihan raya, 50% kerusi di Parlimen akan diberi kepada parti tersebut.

Ini bermakna setiap undian adalah diberikan pemberat. Manakala dalam sistem pengundian majoriti mudah (simple majority), peratusan ini tidak penting.

Saya difahamkan melalui sistem yang dicadangkan ini, pilihan raya kecil juga tidak akan diadakan jika berlaku kematian wakil rakyat atau kekosongan disebabkan faktor tertentu.

Kerusi tersebut akan diganti secara automatik oleh parti yang mewakili kawasan tersebut sebelumnya.

Cadangan ini juga bermakna, tiada lagi sistem yang membenarkan individu tanpa parti bertanding dalam pilihan raya.

Semua ini bukan sahaja menyekat hak rakyat tanpa parti untuk bertanding dalam pilihan raya, tetapi juga menyekat hak rakyat sesuatu kawasan memilih wakil mereka ke Parlimen.

Akhirnya demokrasi di negara ini akan menjadi gelanggang percaturan parti politik dan tidak lagi tentang perwakilan rakyat yang sebenarnya.

Lebih mengelirukan khabarnya cadangan ini mengecualikan Sabah dan Sarawak. Sabah dan Sarawak akan terus menggunakan sistem pemilihan sedia ada.

Apa rasionalnya perlu ada dua sistem berlainan antara Semenanjung Malaysia dengan Sabah dan Sarawak?

Pembaharuan amalan pilihan raya mestilah tidak janggal kepada sistem demokrasi yang telah berfungsi dengan baik semenjak Malaysia merdeka.

Pengenalan sistem yang di luar kelaziman adalah sangat ‘counter-productive’ kepada kesuburan demokrasi.

Alasan dangkal seperti mengelakkan pembaziran wang rakyat melalui pilihan raya kecil adalah sangat tidak munasabah.

Tiada harga yang setanding nilainya dengan hak untuk berpartisipasi dalam demokrasi.

Saya menyeru agar segala pembaharuan amalan pilihan raya di negara ini dilaksanakan dengan telus, mengambil kira kearifan tempatan dan memberi nilai kepada sistem pilihan raya ‘ala Malaysia’ yang telah terbangun semenjak negara ini merdeka.

Janganlah kekalahan dalam empat PRK, menjadikan kerajaan begitu gerun dan gundah sehingga mencadangkan pembaharuan yang sangat tidak selari dengan kepentingan demokrasi Malaysia. – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.