Lakukan Sumpah Mubahalah, Berdiri Atas Kebenaran – Najib Razak

 

KUALA LUMPUR, 20 Dis – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak telah melafazkan sumpah mubahalah buat kali ketiga di Masjid Kampung Baru hari ini.

Perkara tersebut dilakukan beliau bagi menafikan dakwaan bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK) Polis Diraja Malaysia (PDRM), Cif Inspektor Azilah Hadri yang mendakwa beliau membuat arahan secara terus untuk membunuh warganegara Mongolia, Altantuya Shaariibuu pada 2006.

Jelas Najib, sumpah mubahalah ini pernah dilafazkan dua kali iaitu semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) Ijok pada tahun 2007 dan di sebuah masjid Guar Perahu, Permatang Pauh pada tahun 2008 dan juga semasa PRK.

Katanya, kali ini adalah kemuncak kepada segala sumpah dan sedia tahu impilikasi sumpah mubahalah ini.

“Saya tahu pengertian sumpah mubahalah ini… kerana saya berdiri di atas kebenaran dan saya hanya takut kepada Allah SWT, maka penuh rela hati saya mengambil keputusan untuk melafazkan sumpah mubahalah.

“Bila saya tengok media sosial macam-macam ulasan dan ada juga ‘macam lawak’ bahan ketawa iaitu antaranya dalam sejarah perundangan Malaysia dan implikasinya barangkali beratus-ratus banduan akan datang mengikut jejak ini.

“Kedua, kononnya saya mengupah sebanyak RM300 untuk beliau (Azilah) melakukan pembunuhan, lebih baik ambil BR1M daripada mengupah dan yang terakhir kononnya mendiang Altantuya Sharibuu seorang perisik kerajaan Russia… kali pertama dalam sejarah dunia seorang perisik membuat laporan polis, biasanya seorang perisik akan menyembunyikan identitinya dan tidak mahu diketahui.”

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan menambah sumpah mubahalah ini adalah hendak membersihkan namanya yang terus difitnah dan dikeji oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) serta menafikan pembabitannya dalam pembunuhan wanita Mongolia tersebut.

Sumpah Mubahalah dibuat seusai solat Jumaat dan disaksikan ribuan jemaah termasuk isterinya Datin Seri Rosmah Mansor bersama keluarga di samping Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Abdul Azeez Abd Rahim dan Datuk Seri Ahmad Maslan.

Berikut adalah sumpah mubahalah yang diucapnya:

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Bismillahirrahmanirrahim.

Pada hari ini 20 Disember 2019 bersamaan 23 Rabiul Akhir 1441H, di dalam rumah Allah SWT yang mulia dan pada hari Jumaat yang berkat ini, saya Mohd Najib bin Tun Abdul Razak, dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang, berikrar dan bersumpah.

A’uzubillahi minas syaitonirojim
Bismillahirrahmanirrahim

Wallahi, wabillahi, watallahi.

Alhamdulillah sejak saya memasuki usia taklif hingga ke saat ini, saya tidak pernah mengarahkan mana-mana individu untuk membunuh seorang wanita warganegara Mongolia yang bernama Altantuya Shaariibuu.

Malah saya tidak pernah berjumpa dan mengenali mendiang sama sekali.

Jika saya berdusta, maka laknat Allah SWT atas diri saya dan jika saya benar, maka mereka yang memfitnah saya dan tidak bertaubat akan dilaknat oleh Allah SWT di dunia dan akhirat. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.