Ekonomi Negara Semakin Malap, Membimbangkan… Apa Fungsi Majlis Penasihat Kerajaan? – UMNOSiswa

KUALA LUMPUR, 20 Dis – ‘Trend’ pemberian dividen yang amat rendah terutama terbaharu, Amanah Saham Bumiputera (ASB) telah menimbulkan kebimbangan rakyat, ujar Pengerusi UMNOSiswa Universiti Malaya Mirza Adnan.

Katanya, Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB) Tan Sri Zeti Aziz seolah-olah tidak mampu untuk mengemudinya dengan baik, malah gagal untuk melakar satu formula mapan untuk mengekalkan daya saing portfolio pelaburan di bawah PNB.

“Apakah Plan Strategik 2017-2022 tidak dilaksanakan dengan baik, atau perlunya strategi baru?

“Lebih membimbangkan, dasar kerajaan yang tidak konsisten malah tidak ada hala tuju jelas serta ketidakstabilan politik dalam pentadbiran Pakatan Harapan (PH) mewujudkan defisit keyakinan pelabur untuk terus melabur di Malaysia,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Ulasnya lagi, dalam keadaan negara jiran seperti Singapura yang menunjukkan lonjakan indeks 5% tahun ini, malah Indonesia 3%, indeks FBM-KLCI terus susut.

“Tahun lepas sahaja, hampir RM11.7 bilion dana asing mengalir keluar dari Malaysia, terbesar sejak 2015.

“Setakat ini, bagi tahun 2019 aliran keluar dana asing mencecah RM10 bilion, menempatkan Malaysia antara yang terburuk di kalangan negara-negara di rantau ASEAN,” katanya.

Senario tersebut sudah pastilah katanya amat membimbangkan dan juga mempersoalkan apa peranan Majlis Penasihat Kerajaan dalam menaikkan ekonomi negara.

“Tidakkah ini membimbangkan kita? Saya tertanya-tanya apakah peranan Majlis Penasihat Kerajaan (Council of Elders) yang kononnya terdiri dari pakar-pakar ekonomi seperti Tun Daim Zainuddin, Tan Sri Zeti, Tan Sri Hassan Merican, Robert Kwok dan Prof Jomo.

“Apakah langkah yang akan diambil kerajaan mendepani tahun 2020 yang lebih mencabar, sebelum negara terjunam ke kancah kemelesetan ekonomi? Soalnya lagi.

Berhubung dengan dividen ASB hanya 5.5%, yang terendah dalam sejarah, Mirza juga berkata ramai daripada rakyat Malaysia begitu terkejut dan khuatir dengan prestasi tersebut lebih-lebih lagi kerana ia melibatkan dana Bumiputera serta ada dari kalangan pelabur yang menggunakan instrumen pinjaman untuk melabur.

“Secara purata, ASB memberikan dividen lebih kurang 7% setiap tahun menjadikan ia sebagai antara instrumen pelaburan terbaik dan tanpa risiko kerana harga jualan dan beliannya kekal pada RM1 seunit.

“Bagaimana ASB boleh kekal memberikan dividen yang tinggi setiap tahun? Jawapannya ada pada instrumen pelaburan.

“Berbanding dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) misalnya, ASB melaburkan dana ke dalam instrumen berpotensi tinggi iaitu pasaran ekuiti yang boleh memberi pulangan 10-20% setahun berbanding instrumen tetap seperti sukuk atau bon yang hanya mampu memberi pulangan kurang 5% setahun,” jelasnya.

Tambahnya lagi, jumlah dana ASB sekarang mencecah hampir RM300 bilion yang mana 70% daripadanya dilaburkan dalam ekuiti dan selebihnya dalam instrumen pendapatan tetap. Berbanding KWSP, hanya 42% dilaburkan dalam ekuiti.

“Oleh itu, dividen ASB sangat-sangat bergantung kepada prestasi pasaran ekuiti. Kedudukan ekonomi dunia yang tidak menentu diburukkan dengan perang perdagangan antara Amerika-China menjejaskan prestasi Bursa Malaysia yang merudum dari 1,900 mata berlegar sekitar 1,500 mata.

“Disebabkan prestasi buruk ini, dianggarkan nilai ekuiti semasa ASB susut hampir RM11 bilion bagi tempoh 2019, maka diterjemahkan dalam dividen yang begitu rendah tahun ini.

“Tetapi soalnya, bagaimana ASB boleh kekalkan dividen yang tinggi pada tahun-tahun sebelum ini ketika Barisan Nasional (BN) mentadbir walaupun prestasi Bursa Malaysia merosot? Pada tahun 2008 sebagai contoh, walaupun Indeks KLCI merosot 39% ASB masih boleh memberikan dividen tinggi sebanyak 7%.,” katanya.

Sudah tentu katanya, rakyat perlu berjaga-jaga dan mula fikirkan apa pula khabar pulangan KWSP serta Tabung Haji kelak.

“Saya jangkakan tidak akan ada berita yang menggembirakan, tetapi cukuplah berita yang tidak lebih memeritkan.

“Saya mengharapkan dengan prestasi kewangan yang lebih baik, Tabung Haji dapat memberikan hibah yang lebih tinggi dari 1.25% tahun lepas.

“Berilah sedikit sinar harapan untuk kami, rakyat,” tegasnya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.