‘Conspiracy At The Highest Level’… Siapa VVIP Yang Pujuk Azila?


KUALA LUMPUR, 18 Dis – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menganggap akuan bersumpah (SD) yang ditandatangani Cif Inspektor Azilah Hadri berhubung dakwaan pembabitan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu adalah ‘conspiracy at the highest level’.

Katanya, SD terbaru Azila tidak akan wujud tanpa adanya ‘VVIP’ yang hebat itu.

“Tun Daim pernah mendedahkan dia sendiri berjumpa dengan Anwar di penjara Sungai Buloh. Dia diminta oleh Tun M supaya memujuk Anwar untuk bergabung menumbangkan BN dan dijanjikan jawatan Perdana Menteri.

“Daim mendedahkannya dalam Program Soal Rakyat TV3 pada 5 September 2018. Dia terpaksa jadi peguam semula untuk jumpa Anwar. Kerana hanya peguam dan keluarga sahaja yang boleh jumpa Anwar di penjara.”

Maka soalnya, siapakah VVIP yang didedahkan oleh Peguam Tan Sri Shafie Abdullah dan Raja Petra Kamaruddin yang jumpa Azilah di luar penjara?

Persoalan tersebut dilontarkan oleh Dr Mohd Puad menerusi kenyataan beliau hari ini.

“Mereka juga cuba memujuk Sirul Azhar di Australia. Setelah gagal, Azila pula dipujuk dengan janji terlepas dari tali gantung. Tun M membuktikan dia boleh melakukan apa sahaja sehingga memujuk Anwar di penjara

“Lagipun dia ada Peguam Negara yang tidak menghormati ‘rule of law’. Tommy Thomas boleh gugurkan kes rasuah Lim Guan Eng. Dia boleh batalkan rayuan pendakwaan terhadap Rafizi.

“Dia satu-satunya Peguam Negara dalam sejarah yang diputuskan ada prima facie menghina mahkamah oleh Hakim Koroner dalam kes Mohd Adib.”

Jelas beliau, akuan bersumpah Azila selepas hampir dua tahun memerintah membuktikan Kerajaan PH sudah tidak yakin untuk memenjarakan ‘segera’ Najib dengan puluhan tuduhan kleptokrasi, AMLA dan salah guna kuasa.

“Dengan tuduhan ‘membunuh’ Najib boleh segera dipenjarakan, maka ia menghalang program Bossku terus menarik sokongan rakyat khususnya anak muda terhadap BN.
‘Ia juga mampu menghalang facebook Najib daripada terus aktif dengan hujah dan fakta yang gagal disanggah oleh Tun M dan menteri menterinya.

“’Game plan’ Mahathir belum berakhir. Dia ‘tersenyum’ bila ditanya tentang SD Azilah,” katanya lagi.

Dilaporkan, Azilah melalui SD itu mendakwa, beliau mendapat arahan secara terus dari Najib yang ketika waktu kejadian merupakan Timbalan Perdana Menteri, untuk membunuh dan menghapuskan mayat Altantuya.

Azilah membuat dakwaan mengejutkan itu dari Penjara Kajang.

Sirul dan Azilah telah disabitkan oleh Mahkamah Tinggi pada 2009 atas kesalahan membunuh Altantuya pada 2006.

Mereka berjaya mengenepikan sabitan itu di peringkat Mahkamah Rayuan pada 2013 namun Mahkamah Persekutuan pada 2015 memutuskan untuk mengekalkan sabitan dan hukuman mati mereka.

Susulan dakwaan itu, Najib menekankan bahawa sepanjang proses perbicaraan di Mahkamah Tinggi hingga ke Mahkamah Persekutuan tidak mensabitkan beliau dalam jenayah itu. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.