Johor Retak Menanti Belah Lagi? PH Amal Politik Catur-mencatur – Ahli Parlimen Belia

KUALA LUMPUR, 13 Dis – Ahli Parlimen Belia Malaysia Negeri Johor Madyasir Ahmad Basir berkata menurut sumber dalaman yang boleh dipercayainya, pentadbiran Menteri Besar Johor ke-17 (MBJ 17) hari ini bagaikan retak menanti belah.

Menurutnya, difahamkan terdapat cubaan untuk melakukan undian tidak percaya dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) terhadap kepimpinan menteri besar mereka sendiri Datuk Dr Sahruddin Jamal.

“Hal ini berlaku kerana dipercayai sudah ada seorang individu dari parti MBJ 17 sendiri yang menanam cita-cita untuk menjadi Menteri Besar Johor yang baharu. Individu ini dikatakan berjawatan yang amat tinggi dalam parti tersebut.

“Melihat kepada budaya catur-mencatur dalam politik Johor hari ini, saya tertarik untuk berkongsikan beberapa perkara mengenai jurisdiksi kuasa Sultan Johor dalam perlantikan Menteri Besar menurut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Johor yang telah wujud sejak 1895,” ujarnya dalam satu kenyataan di status Facebooknya.

Ulasnya lagi, meskipun undi tidak percaya dilaksanakan oleh ahli DUN, kuasa penentu untuk melantik Menteri Besar adalah terletak pada kuasa Sultan.

“Tiada peruntukan untuk mana-mana keputusan berkenaan lantikan Menteri Besar Johor atas nasihat Perdana Menteri atau Menteri Besar sebelumnya terhadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Johor.

“Berhubung dengan pelantikan seorang Menteri Besar di Johor, kaedahnya dinyatakan oleh Fasal 3 dan Fasal 4(2)(a) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor (Bahagian Kedua).

“Di bawah Fasal-fasal itu, Sultan Johor hendaklah melantik salah seorang Ahli DUN yang beragama Islam berketurunan orang Melayu pada pertimbangan baginda boleh mendapat sokongan majoriti ahlinya sebagai seorang Menteri Besar,” katanya.

Jelas Ketua Penerangan Pemuda UMNO Pasir Gudang itu lagi, amat jelas Fasal 7(2)(a) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor (Bahagian Kedua) bahawa kuasa untuk memilih seorang Menteri Besar adalah di bawah budi bicara baginda, Sultan Johor.

“Begitu juga dalam urusan membubarkan DUN, menurut Fasal 23(2) Bahagian Kedua Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895, Pembubarkan DUN adalah atas kuasa dan budi bicara Tuanku Sultan Johor.

“Budi bicara adalah prerogatif yang masih tersimpan pada Raja-Raja untuk bertindak tanpa terikat dengan nasihat.

“Sekiranya dirujuk pada Fasal 7(2) terdapat tujuh perkara yang jatuh di bawah budi bicara Sultan Johor, selain daripada Fasal 7(3) (Bahagian Kedua) dan Fasal 8 (Bahagian Ketiga),” ujarnya.

Tambahnya lagi, menurut peruntukan undang-undang yang dinyatakan di atas, adalah diingatkan kepada ahli-ahli politik dalam negeri Johor ini agar tidak sesekali terbawa-bawa dengan kuasa politik yang ada pada mereka sehingga membelakangkan kuasa dan peranan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor.

“Daulat Tuanku. Sultan dan Rakyat Berpisah Tiada,” tegasnya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.