Bila Ada PRK… Skrip Lama PH Bakal Berulang – Annuar

KUALA LUMPUR, 12 Dis – Setiap kali terjadi Pilihan Raya Kecil (PRK), kerajaan Pakatan Harapan (PH) pasti akan mengulangi skripnya yang lama, bidas Setiausaha Agung UMNO Tan Sri Annuar Musa.

“Biasanya akan ada cuti tambahan, pengumuman projek, kelulusan bajet, benda-benda kebetulan, menteri turun kampung, pendakwaan terpilih, buka buku lama (dan) ‘blaming game’ pd BN (Barisan Nasional),” ciap Annuar di Twitternya.

Untuk rekod, selain sering mengeluarkan kenyataan berbaur ugutan dan perkauman dari pemimpin-pemimpin PH, dalam siri-siri PRK sebelum ini mereka juga sentiasa menawarkan pelbagai janji projek pembangunan dan peruntukan.

Baik dari PRK Parlimen Cameron Highlands dengan tindakan PH mengugut pengundi, janji bina hospital di Semenyih, peruntukan lebih RM2 bilion di Sandakan hinggalah baru-baru ini di Parlimen Tanjung Piai dengan menabur lebih RM20 juta peruntukan, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad juga berkata mereka hanya akan tunaikan segala janji sekiranya memenangi PRK tersebut.

Walaupun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Bersih 2.0 mengakui PH banyak melakukan kesalahan mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, tetapi masih tidak dikenakan apa-apa tindakan.

Isnin depan, 16 Dis, SPR akan bermesyuarat antaranya bagi menentukan tarikh PRK Parlimen Kimanis berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan pada minggu lepas yang menolak rayuan Datuk Seri Anifah Aman untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya pada 16 Ogos lalu bahawa kemenangannya pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) tidak sah dan terbatal selepas mendapati wujud kertas undi tambahan yang boleh menjejaskan keputusan pilihan raya.

PRK Parlimen Kimanis adalah PRK kesepuluh diadakan selepas PRU-14 dengan yang pertama diadakan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis pada 4 Ogos 2018; DUN Balakong dan DUN Seri Setia (8 September 2018); Parlimen Port Dickson (13 Oktober 2018); Parlimen Cameron Highlands (26 Januari 2019); DUN Semenyih (2 Mac 2019); DUN Rantau (14 April 2019); Parlimen Sandakan (11 Mei 2019) dan Parlimen Tanjung Piai (16 Nov 2019). – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.