Perbahasan Wakil Mahasiswa Gamit Semangat Obor UMNO Sebuah Perjuangan

KUALA LUMPUR, 7 Dis – Perbahasan Wakil Mahasiswa Muhammad Mirza Adnan bukan sahaja menggamatkan Dewan Merdeka malah menggamit semangat para perwakilan serta pemimpin yang memberikan tepukan gemuruh atas semangat yang ditunjukkan anak muda berkenaan.

Dengan penuh semangat beliau mahukan obor UMNO sebuah perjuangan terus bersemarak dan masing-masing berdiri untuk sama-sama memberikan semangat dan penghargaan kepada anak muda mahasiswa yang setia berjuang bersama UMNO.

Menerusi perbahasannya, Muhammad Mirza berkata pemansuhan Seksyen 15 (2) (C) Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) memberikan kebebasan untuk mahasiswa berpolitik di kampus.

Namun hari ini kata beliau sudah terdapat suara-suara sumbang yang cuba untuk menggagalkan usaha yang dilakukan oleh Pemuda UMNO dengan penubuhan Kelab Mahasiswa UMNO.

“UMNO pada hari ini telah mula mengorak langkah, selepas Datuk Asyraf Wajdi mengumumkan rancangan penubuhan Kelab Mahasiswa UMNO minggu lepas, walaupun hari ini Menteri Pendidikan memberikan kebebasan bersuara kepada mahasiswa, namun beluam apa-apa lagi kita dah dengar suara-suara sumbang yang cuba untuk menyekat perjuangan  ini.

“Saya ingin mengingatkan kepada Menteri Pendidikan kita, jangan sesekali berani menafikan hak kami sebagai mahasiswa, sekali kami disekat, kami akan bangun melawan kerajaan hari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan usul ucapan dasar presiden pada Perhimpunan Agung UMNO 2019, di Dewan Merdeka di sini, hari ini.

Beliau yang merupakan pelajar jurusan undang-undang turut melahirkan kebimbangannya terhadap dua rukun penting negara setelah bertukar kerajaan..

“Hari ini perkara yang amat membimbangkan kita, negara kita sudah hilang dua rukun penting iaitu keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang. Sebagai mahasiswa jurusan undang-undang, dekat dengan hati saya untuk menceritakan suasana ‘rule of law’ pada hari ini amatlah membimbangkan kita.

“Setelah bertukar kerajaan, negara kita seolah-olah ditadbir oleh undang-undang rimba, tiada lagi cerita soal kedaulatan undang-undang yang hari ini sewajarnya kita pertahankan. Kes banglo mewah ditutup begitu sahaja, kita tanya kerajaan hari ini mana pergi terowong dasar laut. Undang-undang kini hanya digunakan sebagai alat untuk memberi tekanan kepada mush-musuh politik. Jadi saya cukup bimbang soal kedaulatan negara kita, bermula dari ICERD, isu pengganas LTTE dan sebagainya. Jadi undang-undang macammana yang kita mahukan di negara ini sebenarnya,” tambahnya. – UMNO Online


 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.