Isu Ketua Pengganas Komunis Malaya: UMNO Desak Kerajaan PH Jangan Lepas Tangan

KUALA LUMPUR, 6 Dis – UMNO kesal dengan sikap lepas tangan kerajaan dalam menangani isu sambutan ulang tahun Parti Komunis Malaya (PKM) dan dakwaan pulangnya abu mayat pengerusi parti itu, Chin Peng, ke Malaysia pada September lalu.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kerajaan tidak boleh melepaskan tanggungjawab dengan berkata ‘tidak tahu-menahu’ kerana ia kini menjadi kemarahan serta keresahan rakyat, khasnya keluarga anggota tentera dan orang awam yang dibunuh pengganas komunis pada zaman sebelum 1989.

“Kita menentang kedua-dua perbuatan ini yang dianggap menghina ketetapan serta pendirian kerajaan yang mengharamkan PKM.

“Ia juga menghina rakyat dan menjurus ke arah pengiktarafan semula PKM. Ia juga mencerminkan betapa tidak ada kuasanya kerajaan sekarang kerana ditekan oleh pihak tertentu dalam Pakatan Harapan,” katanya ketika menyampaikan Ucapan Dasar Presiden di Perhimpunan Agung ke-73 UMNO di sini, hari ini.

Dr Zahid berkata, ia paling dirasai oleh kaum keluarga mangsa PKM, termasuklah lebih 10,000 anggota pasukan keselamatan yang berjuang mempertahankan negara daripada ideologi itu.

“Mengingati peristiwa itu, ramai anggota keselamatan dibunuh secara kejam dan tidak berperi kemanusiaan.

“Ada yang dibakar hidup-hidup, wanita mengandung dirobek perut mereka hingga terburai, ada mangsa yang berkecai kepala kerana ditembak, rumah dibakar bersama penghuninya dan pelbagai kekejaman.

“Inikah yang mereka agung-agungkan,” katanya.

Malah, komunislah yang membunuh Ketua Polis Negara ketika itu, Tan Sri Abdul Rahman Hashim dan Ketua Polis Perak, Tan Sri Khoo Chong Kong.

“Dengan menimbang perkara ini serta kesannya kepada kestabilan negara, kerajaan seolah-olah membenarkan ianya berlaku di depan mata.

“Tidak ada tindakan konkrit diambil terhadap peserta perhimpunan mengenang PKM dan mereka yang bertanggungjawab membawa pulang abu mayat Chin Peng sebelum menaburkannya di sekitar Lumut,” bidasnya.

Negara baharu-baharu ini dikejutkan dengan berita pembawaan pulang abu mayat itu.

Di Parlimen, ada ahli yang kebanyakannya dari Dap serta Parti Amanah Negara menyokongnya dan tidak kurang pula yang membantahnya.

Dap mengagung-agungkan Chin Peng sebagai pejuang negara dan mahu menukar sejarahnya sebagai pejuang dan ia telah menimbulkan kemarahan banyak pihak. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.