Wanita UMNO Tekad Terus Bekerja, Santuni Rakyat, Dekati Pengundi Untuk PRU15

KUALA LUMPUR, 5 Dis – Ketua Wanita UMNO Malaysia Datuk Dr Noraini Ahmad menegaskan Wanita perlu terus bekerja, santuni rakyat dan dekati pengundi tanpa ada masa untuk dibuai kemenangan lantaran perlu bersiap sedia seolah-olah Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan diadakan esok.

Katanya, biarpun 2019 yang hampir melabuhkan tirainya meninggalkan kenangan manis sebagai pembalut luka selepas 2018 meninggalkan kenangan pahit yang terlalu sukar untuk dihadam iaitu kekalahan UMNO dan Barisan Nasional (BN) namun, Wanita UMNO tidak akan bersenang hati.

“Rentetan kemenangan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) menunjukkan perubahan positif terhadap penerimaan rakyat kepada UMNO, tetapi adakah kita mahu sandarkan kepada keputusan-keputusan pilihan raya itu untuk menyatakan kita telah kembali bangkit dan mendapat sokongan rakyat? Masih banyak kerja yang perlu kita lakukan, kita tidak mahu momentum sokongan yang sedang positif kepada kita ini terhenti sekadar di pilihan raya kecil sahaja. Kita mahu ia berterusan sehinggalah ke PRU-15.

“Seperti yang saya katakan dalam ucapan dasar saya… Keputusan pilihan raya kecil belum bermakna kita boleh senang hati… Sungai Besar buktinya. Jadi jangan kita tersalah langkah,” ujar beliau ketika menyampaikan ucapan pengulungan dalam Perhimpunan Wanita UMNO bersempena dengan Perhimpunan Agung UMNO 2019.

Tambah Noraini, kerana itulah Wanita harus sentiasa bersiap sedia seolah-olah PRU-15 akan diadakan esok hari.

“Kita pun tidak tahu bila PRU-15 ini bakal berlangsung. Dalam situasi kerajaan yang caca marba, bergaduh sesama sendiri, berebut jawatan sehingga pening Perdana Menteri, entah-entah esok lusa selepas kita tamat bersidang kali ini, Perdana Menteri umum bubar Parlimen. Jangan masa itu kita pula yang panik….

“Dalam situasi kerajaan goyah ini apa-apa pun boleh berlaku. Justeru itu saya mahu Wanita UMNO terus bekerja, terus santuni rakyat dan terus dekati pengundi. Kita tidak ada masa untuk terus dibuai dengan kemenangan.

“Sebab itu dalam ucapan dasar saya, saya tekankan tiga misi utama untuk memastikan Wanita UMNO terus menjadi gerakan yang progresif – terus menjadi wanita yang luar biasa. Kita perlu terus memperkukuhkan jentera parti, gerak kerja Jalinan Rakyat 2.0 kita perkasakan, Kembara Jalinan Rakyat akan terus kita perluaskan kerana gerak kerja ini merupakan komponen penting kepada usaha kebangkitan bukan sahaja Wanita tetapi UMNO pada PRU-15,” tegas beliau.

Mengulas mengenai ucapan para pembahas Noraini berkata, rata-rata pembahas menyentuh kerjasama UMNO dan PAS dalam membentuk Muafakat Nasional.

“Siapa sangka, kekalahan kita pada PRU-14 ada rahmatnya. Ketika maruah agama, bangsa dan tanah air kita dicabar, dihina… dicela… diinjak-injak…. Allah tunjukkan kita jalan kepada pembentukan Muafakat Nasional yang menyatukan kembali orang Melayu dan Islam di negara ini. Dengan kerjasama ini, Wanita harus menjadi benteng untuk mempertahankan agama, bangsa dan tanah air.

“Justeru, saya seru kepada para perwakilan dan ahli-ahli Wanita UMNO untuk menjaga serta mengekalkan ukhwah ini. Mantapkan kerjasama sedia ada, bukan hanya demi kebaikan kita, kebaikan orang Melayu mahupun orang Islam sahaja tetapi demi kebaikan masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini,” ujar beliau lagi.

Dalam ucapannya juga Noraini melahirkan harapan agar kedudukan Wanita dalam UMNO terus diperkasakan.

“Bukan kerana kami terlalu mahukan kuasa, tidak sama sekali. Bukan untuk diri saya pun… tidak ada kena mengena dengan diri saya… tetapi yang kami tuntut ialah penghargaan kepada usaha Wanita UMNO selama ini. Sebagai tulang belakang kepada parti, dengan keahlian mencecah 1.2 juta orang, Wanita UMNO merupakan komponen penting kepada parti di semua peringkat.

“Pengiktirafan terhadap Wanita bukan sahaja sekadar memberikan jawatan dalam parti tetapi ianya perlu diterjemahkan dengan tindakan-tindakan yang lebih konkrit. Justeru, kami berharap supaya wanita UMNO diberikan lebih ruang untuk berkhidmat sebagai wakil rakyat. Ramai di antara kami yang mempunyai kemampuan untuk galas tugas itu.

“Kami juga harap kepimpinan dapat mempertimbangkan supaya ditetapkan minima 30 peratus kuota untuk kaum Wanita sebagai calon dalam pilihan raya akan datang,” ujarnya lagi. – UMNO ONLINE