Perkasakan Idealogi Parti, Politik Identiti Bagi Depani Cabaran Mendatang – Mohamad

KUALA LUMPUR, 5 Dis – Ideologi dan politik identiti yang kukuh dengan mekanisme pertahanan yang dipanggil daya tahan politik dan budaya mampu mendepani badai imperialisme ekonomi, sosial, budaya dan pemikiran yang terus-menerus menghimpit jati diri bangsa, ujar Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan.

Namun begitu katanya, ideologi mestilah memerlukan sebuah konteks baharu kerana Malaysia telah lama meninggalkan zaman pasca kemerdekaan.

“Malaysia pasca moden menuntut ideologi parti disemak dan diberikan tujahan dan nilai baru. Iaitu kemajuan dan kebolehsaingan.

“Justeru, Ideologi kita mesti beranjak kepada kemajuan dan kebolehsaingan orang Melayu. Bukan sekadar menambah baik kedudukan dan mempertahankan hak kita semata-mata,” ujarnya ketika merasmikan secara serentak Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO 2019 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini malam tadi.

Hadir sama Ketua Wanita UMNO Malaysia Datuk Dr Noraini Ahmad, Ketua Pemuda Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua Puteri Datuk Zahida Zarik Khan serta barisan ahli jawatankuasa pusat masing-masing.

Turut hadir barisan kepimpinan Majlis Kerja Tertinggi UMNO dan parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) serta PAS.

Oleh kerana itulah katanya betapa pentingnya untuk kembali memberikan tujahan baharu kepada ideologi parti.

“Tujahan baru ini penting agar UMNO boleh menghembus seru nafas yang lebih segar. Memberikan ia perspektif dan naratif yang lebih kontemporari dan berdaya tahan.

“Kenapa saya kata ideologi? Kerana sebagai orang perjuangan, ideologilah yang menjadi inspirasi kita.

“Apakah makna kita berjuang dan berparti jika tidak ada ideologi? Tanpa pemikiran politik? Tanpa kepercayaan bahawa apa yang kita perjuangkan itu adalah benar. Ia seperti jasad tanpa jiwa, tanpa roh. Kosong dan kontang,” tegas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau itu lagi.

Ulas lanjut, Mohamad menjelaskan apabila tersisihnya ideologi dari agenda besar UMNO, maka politik naungan akan berakar umbi di dalam parti iaitu politik yang berasaskan untung dan rugi, politik yang bertumpu pada personaliti, politik bangsawan dan politik terhutang budi.

“Dalam meyakini bahawa UMNO ini ideologinya adalah tentang menggerakkan segala usaha bagi menambahbaik kedudukan, maruah, dan kepentingan bangsa Melayu.

“Selama UMNO ini hidup, ia bernafas dan berfungsi untuk memastikan kedudukan Islam, budaya, bahasa dan tradisi Melayu terus dipertahankan, tanpa menyinggung hak dan kepentingan serta kepercayaan rakan-rakan kaum yang lain.

“Satu-satunya perkara yang menghubungkan kita dengan pejuang-pejuang parti ini dan generasi dahulu adalah ideologi. Dan ideologi jugalah yang akan menghubungkan kita dengan generasi penerus perjuangan UMNO pada masa hadapan,” tambahnya yang yakin ideologi UMNO akan terus relevan dulu, kini dan selamanya.

Kerana itulah katanya amat dangkal apabila wujud cadangan untuk menyisihkan politik identiti daripada wacana politik negara dan menggantikannya dengan wacana dasar, ekonomi dan polisi semata-mata.

“Mungkin mereka lupa bahawa dalam sejarah kemajuan dan kemodenan Malaysia, kemakmuran ekonomi kita tidak boleh dipisahkan dari identiti dan politiknya.

“Justeru, apa jua usaha untuk menolak ideologi UMNO atas hujah politik identiti tidak akan berjaya.

“Malah (idealogi UMNO) akan menjadi lebih relevan apabila berhadapan dengan cabaran dan dampak globalisasi,” tegasnya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.