Jaminan Kerja Orang Muda Antara Tawaran Baru Kerajaan Alternatif Kepada PH – Shahril

KUALA LUMPUR, 5 Dis – Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Sufian Hamdan hari ini mencadangkan agar tawaran baru atau ‘new deal’ segera dilontarkan agar ianya dapat diperhalusi oleh rakyat di luar sana terutama anak-anak muda menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Menurut beliau antara cadangan berkenaan adalah menawarkan satu program jaminan kerja kepada semua golongan muda dan setiap daripada mereka yang tamat pengajian dijanjikan pekerjaan yang dicipta oleh kerajaan pada gaji berpatutan sehinggalah mereka mendapat peluang pekerja dengan lebih menarik di sektor swasta.

“Bukan sebagai penjawat awam dan ini jangan salah faham, tetapi melalui jaminan kerja yang akan dilaksana dan diselia oleh kerajaan. Banyak lagi kerajaan yang boleh buat baik dari segi pembantu guru di sekolah-sekolah, anggota polis simpanan, peluang pekerja dalam PBT-PBT anda ada bajet, bayangkan tidak semua anak bandar, luar bandar dan pinggir bandar yang tidak perlu datang ke pusat bandar untuk mencari kerja. Kerja datang ke daerah sendiri.

“Kita perlu keluar dari kepompong ekonomi yang mana segalanya adalah sektor swasta. Keluar dari kepompong takut nak berbelanja dan tugas kerajaan memang untuk belanja. Simpan kat Bank Negara untuk apa,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan Perhimpunan Agung Pemuda UMNO, di sini, hari ini.

Beliau pada masa yang sama turut memberitahu hutang kerajaan tidak sama dengan isi rumah dan ianya tidak sama seperti bayar pinjaman rumah dan tidak sama dengan bayar pinjaman kereta.

Katanya hutang yang diterbitkan oleh kerajaan sentiasa mampu dijelaskan atau penebusan hutang lama dengan penerbitan hutang yang baru, malah pelanggan hutang ini pun terdiri daripada KWSP, KWAP, Tabung Haji, ASB dan sebagainya.

“Ada interest yang kerajaan kena bayar dan faedah ini akan kembali semua kepada rakyat. ’Paranoya’ hutang negara ini adalah jembalang ciptaan PH yang tidak penah digeruni pun selagi belanja itu boleh menaikkan ekonomi negara dan bantu rakyat  dan selagi kita tidak terhegeh-hegeh berhutang bon samurai.

“Kalau hutang mata wang sendiri yang kita sendiri terbit dan cetak apatah lagi akaun perdagangan dalam lebihan kita tidak perlu takut. Mustahil kerajaan ini boleh bangkrap. Ini ertinya ekonomi berdaulat,” ujarnya.

Ujarnya lagi hipokrasi kerajaan PH amat jelas setelah dulu hari-hari berzikir tentang hutang kerajaan namun sekarng ini mereka sendiri tambah.

“Tetapi kita jangan jadi macam mereka. Dulu zaman pertama Tun Dr Mahathir hutang lebih 100 peratus KDNK tidak ada masalah pun. Rakyat pun tidak kisah defisit tiga persen ke, 3.5 persen ka… yang mereka tanya kenapa 11 peratus orang muda kenapa mesti menganggur.

“Maka saya syorkan sekali lagi bawah BN atau Muafakat nasional kita jamin siapa yang nak kerja kerajaan akan disediakan. Kita jamin tidak ada ibu bapa yang perlu risau anak mereka belajar tinggi-tinggi akhirnya tercengang di rumah tanpa hala,” tambahnya.

Selain itu beliau turut mencadangkan kerajaan alternatif nanti membangunkan industri hiliran besar-besaran dan diperkasakan skim dividen untuk pekebun kecil melalui koperasi atau mekanisme yang lain sewajarnya.

“Bermakna bukan hanya syarikat hiliran tempatan yang membuat produk akhir dan mendapat untung, tetapi untung itu dikongsi dengan pekebun kecil yang membekalkan sawit mentah. Ekonomi lestari isu kebajikan pekebun ditangani.

“Banyak lagi yang saya nak lontarkan… saya nak pertanian moden untuk orang Melayu dan tarik teknologi digital sepertimana kata Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan semalam. Saya nak orang Melayu jadi juara aplikasi digital dan bukan hanya jadi pengguna ‘whats app’ Instagram dan sebagainya tetapi biarlah esok Melayu jadi tersohor sebagai pencipta produk-produk seumpama ini,” tambahnya.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.