Bukan ‘Lepas Batok Di Tangga’… Kertas Putih Pertahanan Perlukan Komitmen Serius Kerajaan – Khairy

KUALA LUMPUR, 2 Dis – Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin menegaskan Kertas Putih Pertahanan yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini bukanlah sekadar pelan perancangan tetapi ianya adalah satu ‘statement of intent’ atau penyataan niat yang memerlukan komitmen yang serius daripada Kementerian Pertahanan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Dalam perbahasannya hari ini, beliau menjelaskan banyak kandungan dalam Kertas Putih adalah perkara yang telah digariskan dalam dasar serta polisi pertahanan negara yang telah dikeluarkan sebelum ini dan perkara paling penting adalah perlunya ada ‘political will’ atau iltizam politik untuk menjayakan perancangan Kertas Putih ini kerana tanpanya dikhuatiri tidak akan memberi apa-apa makna.

“Kertas putih pertahanan ini bukan hanya menjadi kertas perancangan tetapi apabila dibentang di khalayak dan dibahas di parlimen, kertas putih ini menjadi ‘statement of intent’ daripada kerajaan Malaysia bukan terhadap rakyat kita sahaja tetapi juga terhadap jiran kita dan musuh-musuh kita.

“Dalam keadaan kertas putih pertahanan ini menjadi ‘statement of intent’, atau kenyataan niat, apakah perancangan dan pelaksanaan perancangan kita dalam sepuluh tahun akan datang?

“Dari segi perancangan cukup cantik. Dari perancangan keperluan aset banyak dicedok daripada pertahanan yang lepas dan juga perancangan-perancangan yang dibuat di setiap cabang perkhidmatan. Tidak ada banyak benda baru. Banyak perkara yang telah dimasukkan daripada perancangan awal,” katanya.

Katanya lagi apa yang ingin dilihat daripada Kertas Putih berkenaan apakah perbezaan besar yang dibawa oleh Kertas Putih tersebut.

“Dari segi analisa geopolitik dan sebagainya ini semua perkara biasa. Yang paling penting adalah iltizam politik untuk mencapai matlamat kertas putih ni. Sebab itu saya sebut kalau kita lihat dari segi iltizam politik itu tidak ada… tidak ada dalam bentuk pembiayaan.

“Kalau kita tengok kertas putih negara-negara lain, baik Perancis, Australia, Indonesia atau Singapura semua memberi komitmen ke mana arah nak dibawa dalam tempoh sepuluh tahun… barulah bukan menjadi satu perkara ‘melepaskan batok ditangga’. Tidak ada komitmen berapa banyak akan dibelanjakan. Kertas Putih yang lain ada iltizam politik,” ujarnya.

Ujarnya lagi, dalam membentangkan kertas putih itu, inilah iltizam politik dalam bentuk pembiayaan kerajaan untuk memastikan aset-aset ini akan diperolehi dalam masa yang ditetapkan.

“Saya sebut perkara ini sebab ini serius. Perkara-perkara yang dibentangkan di dalam Kertas Putih ini bukan perkara yang melibatkan peruntukan yang kecil. Kita sekarang ini perlu bersiap siaga dalam dua wilayah. Dan keperluan hari ini untuk kita memastikan kesiapsiagaan kita di dua wilayah masih lagi tidak cukup.

“Saya percaya menteri mungkin nak bagi komitmen iltizam politik itu, tetapi kerisauan saya apabila kita bagi ‘statement of intent’ tetapi tidak ada satu iltizam politik yang dibuktikan di sini, kertas putih tak beri apa-apa makna,” tambahnya lagi.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.