Bawa Balik Abu Mayat Tidak Akan Ubah Sejarah Chin Peng Pengganas

KUALA LUMPUR, 27 Nov – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata tindakan membawa balik abu mayat Chin Peng tidak akan menukar sejarahnya sebelum ini bahawa beliau adalah pengganas di dalam negara.

Menurutnya, sejarah sebelum ini dapat dilihat bagaimana anggota tentera dan polis yang meninggal dunia di samping kecederaan orang awam termasuklah saudara-mara mereka yang masih ada tidak boleh melupakan peristiwa hitam terbabit.

“Walaupun hanya abu mayat sepertimana yang diperkatakan oleh beberapa pihak tetapi kita perlu jelas bahawa Chin Peng dari sejarah adalah pengganas dalam negara kita.

“Jadi membenarkan abu mayatnya dibawa balik tidak menukar sejarah bahawa beliau pengganas sebagaimana insiden yang berlaku sepanjang komunis bertempur dengan tentera dan sebagainya.

“Beribu-ribu anggota tentera dan polis meninggal, beribu-ribu anggota polis dan tentera cedera, beribu-ribu orang awam juga cedera, meninggal dan sebagainya. Keluarga mereka masih ada dan peristiwa yang menimpa bekas anggota tentera mungkin bapa mereka dan sebagainya maka tidak boleh dilupakan,” katanya di lobi parlimen, di sini, hari ini.

Malah kata beliau lagi, mungkin ada bekas-bekas tentera yang masih hidup ataupun orang awam yang cedera pada masa itu terpotong kakinya kerana jerangkap samar dan sebagainya.

Jadi tegasnya, membawa balik abu mayat itu sebenarnya mengguris hati ramai anggota tentera dan keluarga mereka malah pihaknya amat kesal perkara ini dan sewaktu kerajaan Barisan Nasional (BN), halangan untuk membawa balik abu mayat ini telah diputuskan oleh kabinet dan tidak dibenarkan.

“Saya difahamkan larangan tersebut masih kekal hingga ke hari ini. Saya terbaca kenyataan daripada Timbalan Menteri Dalam Negeri, mengatakan kerajaan masih lagi kekal dengan dasar yang lama dan saya tidak tahu apakah tindakan kementerian selepas ini. Yang rakyat persoalkan mereka membawa senyap-senyap bermakna melanggar perintah yang dikeluarkan oleh KDN itu sendiri.

“Secara peribadinya saya tidak bersetuju dengan perkara ini dan kita kesal dengan apa yang berlaku… cuma dari segi UMNO saya percaya Jumaat ini ada mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) dan percaya akan dibincangkan,” tambahnya.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.