Tender Terbuka, KSU ‘Dikambing Hitam’ Oleh Menteri PH – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 26 Nov – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melahirkan rasa kesal ekoran tindakan dilakukan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) terhadap Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani yang ditukarkan ke Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) serta-merta hasil daripada kesilapan menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub.

Katanya, KSU ini menjadi mangsa akibat dari kelemahan menteri dalam mengendalikan isu berkaitan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS).

“Pihak kita tidak menentang NAFAS diberikan kontrak tersebut… tidak… jangan salah sangka bahawa kita tidak menentang cuma mempertikaikan apabila tender itu telah dibuka dan dipilih penender yang berjaya tapi tender itu dibatalkan.

“Saya percaya tindakan yang dilakukan oleh KSU adalah berdasarkan manifesto dari kerajaan PH iaitu semua tender mesti dilakukan dengan tender terbuka, semua projek dilakukan dengan tender terbuka,” katanya dalam sidang media di Parlimen hari ini.

Jelas Ismail, inilah isu yang dibangkitkan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) dulu apabila ada projek diberikan dengan runding terus, ada yang tidak terbuka seperti tender di Kementerian Pertahanan dan keadaan-keadaan tertentu tidak diberikan runding terus tetapi diberikan tender terbuka.

Terdahulu, sebuah portal berita semalam melaporkan bahawa KSU Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd Sallehhuddin Hassan ditukarkan susulan kontroversi membabitkan tender padi bernilai RM1.4 bilion.

“Tak mungkin sebagai Menteri tidak dimaklum terutamanya tender yang melibatkan RM 1.4 bilion. Perkara ini biasanya akan dibentangkan termasuk ‘post cabinet’ dan sebagainya. Tidak munasabah kalau Menteri tidak tahu.

“Mustahil menteri tidak tahu termasuk juga pegawa-pegawainya tidak buat kerja atau Menteri tidak buat kerja kerana langsung tidak tahu apa yang berlaku di Kementeriannya.

“Apabila sudah melakukan kesilapan dan akhirnya pegawai kerajaan menjadi ‘kambing hitam’. Kita amat kesal perkara ini dan sejak dari awal pentadbiran kerajaan PH sentiasa menyalahkan kakitangan kerajaan… dikatakan tidak setia pada kerajaan hari ini, setia kerajaan lama dan sebagainya,” jelas beliau lagi.

Lagipun katanya, dalam proses tender pengiklanan dibuat dalam media maka mustahil waktu itu Menteri tidak tahu sebelum tender ditutup dan memakan masa sebulan ditutup dari tarikh pengiklanannya.

“Setiap apa yang berlaku di kementerian maka Menteri harus bertanggungjawab sebab dialah ketua dalam kementeriannya.

“Pihak pembangkang memberi jaminan akan terus mempertahankan kakitangan-kakitangan kerajaan yang dianiaya oleh kerajaan yang memerintah hari ini,” tegasnya lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.