Jual Aset Negara: Fahaman Neo-Liberal Meresap Masuk Dalam Kerajaan PH

KUALA LUMPUR, 26 Nov – Fahaman neo-liberal sekarang sudah meresap masuk ke dalam kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), ujar Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru Tan Sri Shahrir Samad.

Maka katanya, tidaklah memeranjatkan apabila aset-aset milik syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) mula dijual oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebagai langkah menyusun semula struktur ekonomi negara.

“Dari sebuah struktur ekonomi yang ‘hybrid’ atau bercampur kepada sebuah ekonomi yang memisahkan di antara kerajaan dan swasta. Yang akan merasa seronok ialah puak neo-liberal walaupun amalan neo-liberal ini akan mewujudkan perkongsian kemewahan yang songsang.

“Songsangnya kerana golongan elit yang kaya-raya bakal menguasai sebahagian besar kemewahan negara. Keadaan ini sudah pun ketara di Amerika Syarikat dan negara-negara di mana kerajaan hanya menjadi ‘regulator’ dan tidak berperanan dalam soal-soal ekonomi.

“Dengan penjualan aset-aset Khazanah Nasional terutamanya aset-aset luar negaranya, akan terhentilah usaha Khazanah dimajukan sebagai sebuah dana kemewahan negara. Penjualan aset-aset luar negaranya juga strategi yang pelik kerana pemilikan aset-aset ini sebenarnya tidak menganggu peranan sektor swasta negara,” katanya dalam satu catatan di Facebook.

Tambahnya, dana kemewahan Norway iaitu yang paling berjaya di dunia, umpamanya disyaratkan untuk melabur hanya di luar negara itu tetapi bagi kerajaan PH, Khazanah dikehendakki untuk melupuskan aset-aset luar negaranya.

“Ia mungkin menepati kehendak neo-liberal kerana Amerika Syarikat juga tidak memiliki dana kemewahannya.

“Tapi adakah Amerika Syarikat itu contoh ekonomi yang terbaik? Mengapa tidak mencontohi dana-dana milik Norway dan Singapura dan kukuhkan Khazanah Nasional sebagai suatu usaha terpenting ke arah perkongsian kemewahan bersama?

“Bukankah perkongsian kemewahan bersama ini juga slogan ekonomi Malaysia Baharu?” soalnya.

Bekas Pengerusi FELDA itu menjelaskan petanda negara ini bergerak ke arah status sebuah negara maju adalah apabila pertamanya, syarikat-syarikat swasta negara turut melabur di luar negara dan keduanya, apabila negara memiliki sebuah dana kemewahan (sovereign fund).

“Daripada awal tahun-tahun 90an lagi, komuniti perniagaan Malaysia telah digalakkan untuk melabur di luar negara dan dalam bidang-bidang perniagaan dalam negara di mana mereka telah membina pengalaman dan kepakaran mereka.

“Pengalaman dan kepakaran ini telah terbina di atas dasar penswastaan negara ketika itu, dari pembinaan dan pengurusan lebuhraya bertol, stesen janakuasa eletrik, pembangunan hartanah berskala bandar baru hinggalah kepada pengurusan hospital dan lapangan kapal terbang dan lain-lain perniagaan.

“Sehinggalah ketika ekonomi negara turut juga terjejas oleh Krisis Kewangan Asia dan negara menyaksikan kemusnahan kemewahan korporat yang menengelamkan nama-nama tokoh korporat yang terbilang,” katanya.

Tambahnya, di tengah-tengah kemusnahan kemewahan korporat itulah munculnya Khazanah Nasional.

“Ketika itu Khazanah diberikan peranan menjadi pemegang amanah kepada aset-aset dan kemewahan korporat yang strategik bagi negara agar tidak dijual kepada pemodal-pemodal asing.

“Puak neo-liberal dalam dan di luar negara menentang peranan kerajaan menyelamatkan aset-aset korporat dengan slogan popular mereka: “Government has no business to be in business!” atau bukan urusan sesebuah kerajaan untuk terlibat dalam perniagaan!

“Ianya dituduh sebagai “bailout”! Dan dihujahkan juga penglibatan kerajaan dalam perniagaan akan mengenepikan peranan sebenar sektor swasta negara!” ujarnya.

Golongan neo-liberal dalam negara dan disokong kuat oleh rakan-rakan sealiran di luar negara, termasuk yang menguasai insitusi-institusi kewangan antarabangsa sebaliknya mengajukan konsep ‘creative destruction’ sebagai cara menyelamatkan ekonomi negara, terangnya lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.