Jika Kepentingan Rakyat Keutamaan, UMNO Sabah Cabar PBBM Berjuang Bersama Pembangkang

KUALA LUMPUR, 25 Nov – Ketua Pemuda UMNO Sabah, Ir. Abdul Aziz Julkarnain melahirkan rasa kesal dengan kenyataan tidak bertanggungjawab Timbalan Pengerusi PPBM Negeri itu, Datuk Masidi Manjun yang mendakwa UMNO tidak lagi bersifat inklusif kerana menggunakan isu bangsa dan agama untuk meraih undi.

Tegas beliau, kenyataan serta tuduhan tersebut adalah cukup dangkal serta berbaur fitnah dan ini adalah naratif terbaru kerajaan dalam menggunakan isu perkauman dan agama untuk menyerang pembangkang.


“PPBM juga jangan hipokrit, sekiranya mereka tidak setuju dengan polisi-polisi mesra pendatang tanpa izin oleh kerajaan yang mereka dukung bersama, maka isytiharkan jadi pembangkang sepertimana USNO sebagai pembangkang di dalam kerajaan BERJAYA walaupun kedua-duanya adalah komponen BN, jika dan hanya rakyat adalah keutamaan mereka.

“Marilah bersama UMNO Sabah dan pembangkang lain untuk selamatkan Negeri ini, tapi saya yakin PPBM Sabah bukanlah parti pejuang yang berprinsip, mereka hanya risau dan khuatir memikirkan tentang kuasa dan kedudukan mereka. Perjuangan untuk membela nasib rakyat bukanlah keutamaan tetapi hanya retorik politik untuk terus mengekalkan kuasa dan kedudukan,” katanya.

Ujar beliau, Kerajaan tentunya akan menggunakan segala jentera dan ‘machineries’ mereka secara berterusan menghamburkan fitnah jelek untuk mengaburi kelemahan mereka sendiri sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 akan datang.

“UMNO sentiasa menjunjung falsafah perjuangannya iaitu untuk agama, bangsa dan negara serta menghormati prinsip kebangsaan beragama dan tidak pernah berubah. Falsafah yang sama juga dijunjung oleh Masidi untuk memenangkan beliau di Dewan Undangan Negeri (DUN) Karanaan selama ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Ir Abdul Aziz seterusnya mengingatkan Masidi agar jangan hipokrit kerana Perlembagaan PPBM juga jelas meletakkan asas perjuangannya iaitu menegakkan agama Islam dan mempertahankan kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera.

“Apakah dia tidak sedar PPBM secara jelas menggunakan kaum dan agama untuk meraih undi. Masidi mungkin buat-buat lupa bahawa UMNO Sabah mempunyai sejumlah besar bilangan ahli yang bukan beragama Islam dan yang menjadi ketua bahagian dan ketua-ketua sayap.

“Itu merupakan bukti jelas bahawa UMNO adalah inklusif untuk semua dan dengan rekod yang cemerlang memperjuangkan kepentingan Bumiputera di negeri ini tanpa mengira latar belakang dan fahaman agama,” ujarnya.

Tegas beliau, Masidi juga mungkin lupa bahawa kerjasama baru yang terwujud antara UMNO, PAS, MCA dan MIC berlaku kerana kegagalan kerajaan pada hari ini mengurus tadbir negara dengan baik.

“Muafakat Nasional itu terbentuk hasil kerisauan, kebimbangan dan kegusaran rakyat yang melihat negara ini sedang kucar-kacir. Ekonomi yang sedang merundum akibat pergelutan kuasa tertinggi sesama mereka sehinggakan kebajikan rakyat tersisih dengan penghapusan bantuan-bantuan kebajikan untuk rakyat.

“Pelabur-pelabur lari meninggalkan pasaran negara kerana melihat ketidakstabilan politik yang tidak berpenghujung bukan kerana pembangkang tetapi kerakusan dan ketamakan merebut kuasa dan laba politik sesama parti-parti pemerintah,” ujarnya. – UMNO ONLINE

Berikut merupakan kenyataan penuh beliau:

Kenyataan tidak bertanggungjawab oleh Timbalan Pengerusi PPBM Sabah amat dikesali. Kenyataan beliau yang menuduh bahawa UMNO tidak lagi bersifat inklusif kerana menggunakan isu bangsa dan agama untuk meraih undi adalah cukup dangkal dan berbaur fitnah. Ini adalah naratif terbaru kerajaan untuk menggunakan isu perkauman dan agama untuk menyerang pembangkang. Saya yakin kerajaan akan menggunakan segala jentera dan machineries mereka untuk berterusan menghamburkan fitnah jelek ini untuk mengaburi kelemahan mereka sendiri sehingga PRU15 akan datang.

UMNO sentiasa menjunjung falsafah perjuangannya iaitu untuk agama, bangsa dan negara serta menghormati prinsip kebangsaan beragama dan tidak pernah berubah. Falsafah yang sama juga dijunjung oleh Masidi untuk memenangkan beliau di DUN Karanaan selama ini.

Masidi jangan hipokrit, Perlembagaan PPBM juga jelas meletakkan asas perjuangannya iaitu menegakkan agama Islam dan mempertahankan kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera. Apakah dia tidak sedar PPBM secara jelas menggunakan kaum dan agama untuk meraih undi?

Masidi mungkin buat-buat lupa bahawa UMNO Sabah mempunyai sejumlah besar bilangan ahli yang bukan beragama Islam yang menjadi Ketua Bahagian dan Ketua-ketua Sayap sebagai bukti jelas bahawa UMNO adalah inklusif untuk semua dan dengan rekod yang cemerlang memperjuangkan kepentingan bumiputera di negeri ini tanpa mengira latar belakang dan fahaman agama.

Masidi mungkin lupa bahawa kerjasama baru yang terwujud antara UMNO, PAS, MCA dan MIC berlaku kerana kegagalan kerajaan pada hari ini mengurustadbir negara dengan baik. Muafakat Nasional itu terbentuk hasil kerisauan, kebimbangan dan kegusaran rakyat yang melihat negara ini sedang kucar-kacir. Ekonomi yang sedang merundum akibat pergelutan kuasa tertinggi sesama mereka sehinggakan kebajikan rakyat tersisih dengan penghapusan bantuan-bantuan kebajikan untuk rakyat. Pelabur-pelabur lari meninggalkan pasaran negara kerana melihat ketidakstabilan politik yang tidak berpenghujung bukan kerana pembangkang tetapi kerakusan dan ketamakan merebut kuasa dan laba politik sesama parti-parti pemerintah.

Kenyataan-kenyataan rasis daripada pemimpin PH yang bertali arus sehingga ada yang mengatakan bumiputera ini adalah pendatang dan sebagainya. Ada pula pemimpin PH yang mencabar agar peristiwa 13 Mei berulang kembali. Ada pula pemimpin PH yang terlibat dengan aktiviti subversif pengganas seperti LTTE. Inikah yang Masidi dan rakan-rakan seperjuangannya mahukan?

Hak bumiputera termasuk anak negeri terus dipertikaikan melalui usaha-usaha kerajaan untuk meratifikasikan undang-undang antarabangsa ICERD dan Statut Rome yang bakal menghakis kedudukan istimewa bumiputera di negara ini. Di manakah PPBM yang kononnya memperjuangkan bumiputera di negara ini ketika itu? Mereka hanya memilih untuk diam kerana perjuangan membela agama bangsa dan negara bukanlah prinsip perjuangan mereka. Kalau bukan kerana UMNO bangkit menentang dan membantah usaha-usaha penghapusan kedudukan istimewa bumiputera (yang memang sudah sedikit), pastinya perjuangan ‘Malaysian Malaysia’ yang diperjuangkan DAP sejak dari penubuhannya bakal tercapai.

Kerisauan dan kebimbangan rakyat bukan sahaja berlaku secara meluas di peringkat nasional bahkan dikongsikan di peringkat negeri Sabah apabila polisi-polisi yang dibuat oleh kerajaan negeri adalah begitu mesra kepada negara asing dan pendatang tanpa izin. Kerajaan negeri mahu membekalkan bekalan elektrik ke Filipina walhal di negeri ini masih mengalami kekurangan bekalan elektrik terutamanya di kawasan-kawasan luar bandar.

Kerajaan negeri juga mahu menyediakan sebuah pulau kepada pendatang asing bukan setakat itu sahaja bahkan mahu memberikan sejumlah besar dokumen kepada 600 ribu pendatang asing untuk tinggal lebih lama secara sah dan boleh diperbaharui setiap 3 tahun dengan hanya perlu membayar RM120 sahaja. Kita bersungguh-sungguh untuk menempatkan mereka di sini walhal kerajaan Filipina sendiri tidak mempunyai halangan untuk menerima kembali rakyatnya untuk kembali.

Ekonomi negeri sedang menguncup sehingga mencatat angka KDNK yang terburuk dalam sejarah. Ini menunjukkan kadar pembangunan yang lembab dan kadar pengangguran yang tinggi di negeri ini. Apakah rakyat Sabah akan mengemis peluang-peluang ekonomi dan pekerjaan di tanahair mereka sendiri apabila peluang-peluang ini bakal dirampas oleh pendatang-pendatang asing itu nanti? Di mana suara Masidi dan PPBM ketika ini yang menjadi sebahagian daripada kerajaan pada hari ini? Sekiranya prinsip mereka untuk memperjuangkan hak rakyat Sabah dan bukannya survival politik mereka, maka saya cabar mereka dan PPBM menjadi pembangkang bersama di negeri ini.

PPBM juga jangan hipokrit, sekiranya mereka tidak setuju dengan polisi-polisi mesra pendatang tanpa izin oleh kerajaan yang mereka dokong bersama, maka isytiharkan jadi pembangkang sepertimana USNO sebagai pembangkang di dalam kerajaan BERJAYA walaupun kedua-duanya adalah komponen BN, JIKA DAN HANYA JIKA RAKYAT ADALAH KEUTAMAAN MEREKA.

Marilah bersama UMNO Sabah dan pembangkang lain untuk Selamatkan Negeri ini. Tapi saya yakin PPBM Sabah bukanlah parti pejuang yang berprinsip, mereka hanya risau dan khuatir memikirkan tentang kuasa dan kedudukan mereka. Perjuangan untuk membela nasib rakyat bukanlah keutamaan tetapi hanya retorik politik untuk terus mengekalkan kuasa dan kedudukan.

Masidi perlu tahu diri bahawa kemenangan beliau di DUN Karanaan adalah atas tiket UMNO dan bukannya PPBM. Sekiranya beliau mahu mengukur kekuatan PPBM dan keikhlasannya terhadap pengundi yang telah mengangkat darjat dan memuliakan beliau selama ini tetapi beliau khianati, maka kosongkanlah kerusi DUN Karanaan dan carilah calon lebih muda bertanding semula untuk mewakli masyarakat di Karanaan.

Ir.Abdul Aziz Julkarnain
Ketua Pemuda UMNO Sabah
25.11.2019

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.