Belanjawan Negeri Sembilan 2020 Baik Tapi Perlu Berhati-Hati – Mohamad

SEREMBAN, 25 Nov – Ketua pembangkang Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan menyifatkan Belanjawan Negeri Sembilan 2020 yang dibentangkan Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun, Jumaat lepas merangkumi pelbagai bidang itu sebagai satu belanjawan yang baik.

Mohamad (BN-Rantau) yang juga Timbalan Presiden UMNO itu berkata, kerajaan negeri bagaimanapun perlu berhati-hati memandangkan kebanyakan pendapatan yang disasar pada tahun hadapan itu berjumlah RM242 juta daripada RM457 juta adalah daripada hasil tidak tetap yang didorong oleh pembangunan di negeri ini.

“Hasil cukai (yang disasarkan) RM152 juta, ini adalah satu angka baik memandangkan pungutan cukai dilakukan di setiap daerah menunjukkan prestasi baik.

“Keduanya, hasil bukan cukai RM242 juta adalah satu angka yang besar, sekiranya dapat pungut, alhamdulillah…tetapi kita risau sekiranya gagal dipungut disebabkan ketidaktentuan ekonomi dunia, banyak negara hadapi masalah dan iklim pelaburan akan menyebabkan sesebuah negara yang banyak bergantung pada pelaburan dari luar negara akan punyai masalah yang besar termasuk Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (2020) 2019 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata kerajaan negeri pada masa ini harus menumpukan kepada menangani isu kos sara hidup yang dihadapi terutama golongan kurang berkemampuan.

Katanya, antara inisiatif yang boleh dilaksanakan kerajaan negeri adalah mengambil peluang sedia ada untuk menarik lebih ramai pelabur ke Negeri Sembilan dalam usaha meningkatkan lagi pendapatan negeri.

“Produk keluaran China tidak lagi semurah atau baik seperti sebelum ini dan ia menyebabkan ramai pelabur beralih ke tempat baharu seperti Vietnam dan Indonesia, justeru kerajaan boleh gunakan peluang ini untuk tarik mereka (pelabur) untuk melabur di sini.

“Pujuk mereka, kita ada infrastruktur berkelas tinggi dan terletak dekat dengan Kuala Lumpur selain mempunyai projek pembangunan seperti Lembah Wawasan Malaysia 2.0 (MVV 2.0). Ini sekali gus boleh meningkatkan pendapatan negeri,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.