Kerajaan Pahang Tubuh Unit Hal Ehwal Orang Asli Rancang, Pantau Pembangunan

KUANTAN, 21 Nov – Kerajaan negeri Pahang menubuhkan Unit Hal Ehwal Orang Asli di bawah pejabat Menteri Besar bagi memantau dan merancang pembangunan untuk golongan itu di negeri ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar Dan Hal Ehwal Orang Asli negeri Datuk Abd Aziz Mat Kiram.

Beliau berkata satu pelan strategik turut diwujudkan agar perancangan dan pembangunan dapat dilaksanakan di kawasan penempatan Orang Asli mengikut daerah khususnya di Cameron Highlands.

“Unit ini sudah bermesyuarat pada Jun lalu dan mereka akan memaklumkan setiap perkembangan pembangunan di kawasan penempatan Orang Asli kepada ahli Majlis Mesyuarat kerajaan negeri.

“Antara projek yang sedang dirancang bagi meningkatkan pendapatan masyarakat Orang Asli ialah pengenalan konsep inap desa di kawasan perkampungan, program perintis pekebun dengan fokus utama kepada penanaman cendawan tiram dan nanas,” katanya.

Beliau berkata demikian pada persidangan Dewan Undangan Negeri Pahang di Wisma Sri Pahang semalam, semasa menjawab soalan D. Kamache (DAP-Sabai) yang ingin tahu peranan kerajaan negeri dalam pembangunan Orang Asli di negeri ini.

Abd Aziz berkata sehingga kini kerajaan Pahang sudah mewartakan 7,153.6 hektar sebagai Tanah Rizab Orang Asli manakala 8,571.36 hektar lagi sedang dalam proses pewartaan.

Selain tanah, katanya kerajaan negeri turut mengambil berat akan pembangunan infrasosial seperti jalan raya, bekalan elektrik dan air dan usaha dilakukan dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) bagi kemudahan kira-kira 89,000 komuniti Orang Asli di Pahang.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Abd Rahim Muda berkata kerja membaik pulih 1,200 unit projek Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) Sungai Pandan, di sini, yang terbengkalai selama 20 tahun, tidak akan diteruskan kerana kosnya terlalu tinggi.

“Hasil lawatan ke projek itu, sebanyak 1,200 unit rumah ini tidak sesuai lagi dibaiki kerana faktor kerosakan bawah tanah, sistem pembetungan dan pelbagai kerosakan lain,” katanya semasa menjawab soalan Mohd Tarmizi Yahaya (PAS-Panching) yang ingin tahu status baki rumah terbiar di PAKR Sungai Pandan.

Beliau menegaskan keputusan itu tidak bermakna kerajaan negeri mengabaikan keperluan golongan berpendapatan rendah untuk memiliki kediaman sendiri menerusi perumahan mampu milik, dengan tetap meneruskan projek PAKR, Perumahan Rakyat 1 Malaysia (PR1MA) Pahang dan Rumah Makmur.

Abd Rahim juga berkata kerajaan negeri sedang dalam proses melaksanakan projek perumahan penjawat awam negeri di tapak kuarters kerajaan negeri yang sudah terbengkalai bermula tahun hadapan dan setakat ini telah mengenal pasti kuarters Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Pahang dan Pejabat Perhutanan Negeri Pahang. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.