Peraturan Baharu JPJ Dibangkitkan Di Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR, 19 Nov – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini membangkitkan isu pelaksanaan pemansuhan lorong tambah nilai yang serta-merta membabitkan ‘Touch N Go’ dan tanpa pembayaran tunai di tol-tol yang dikuatkuasakan pada 5 November lalu yang dilihat menimbulkan kesukaran kepada pengguna.

Pada sesi perbahasan di Dewan Rakyat, beliau menyentuh soal berkenaan yang mana pelaksanaannya menyebabkan berlaku kesesakan di lorong-lorong plaza tol dan keduanya adalah soal ‘reload’ yang tidak boleh dilakukan lagi.

“Pelaksanaan ini dianggap amat menyusahkan rakyat khususnya masyarakat luar bandar yang jarang menggunakan ‘Touch N Go’ dan tidak memerlukannya yang biasanya memerlukan tunai untuk perjalanan yang tidak berkala.

“Keduanya dari segi ‘reload’ yang boleh dilakukan di tol-tol yang mana ini tidak dibenarkan lagi. Saya percaya walaupun ada sistem ‘Touch N Go’ dan ‘e-wallet’, tidak semua menggunakannya. Jadi perkara ini menyusahkan dan saya difahamkan berlaku kesesakan lalu lintas akibat daripada dasar baru yang dikeluarkan oleh pihak kementerian ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan  Rang Undang-Undang Perbekalan 2020 peringkat jawatankuasa Kementerian Pengangkutan Peringkat Jawatankuasa di Dewan Rakyat, di sini, hari ni.

Justeru dalam perbahasannya Ismail yang juga Ahli Parlimen Bera mencadangkan beberapa cadangan antara lain diwujudkan kiosk untuk memudahkan urusan tersebut.

“Saya cadangkan, kalau boleh di setiap satu kilometer ataupun dua kilometer… tidak kiralah sebelum tol diwujudkan kiosk untuk ‘reload  Touch N Go’ berkenaan. Keduanya pada peringkat awal ini kerana masih lagi belum jelas dan ramai yang masih belum tahu menggunakannya, saya mencadangkan walaupun ‘Touch N Go’ sudah tidak cukup duit di dalamnya, dibenarkan terus melalui dengan negatif di dalam kad mereka.

“Dan sebelum keluar tol yang terakhir mereka mesti ‘reload’ di dalam perjalanan sama ada di stesen minyak dan sebagainya atau pun ada kiosk tadi, boleh kiosk berkenaan. Jadi tidak timbul isu beratur di plaza tol,” ujarnya.

Dalam perbahasannya itu juga, beliau turut membangkitkan peraturan baru yang dikuatkuasakan berhubung lesen PSV, GDL E-Hailing PSV yang pada anggapannya membebakan golongan tersebut sehingga akhirnya berlaku mogok baru-baru ini.

“Saya juga nak timbulkan isu yang pihak JPJ mewajibkan semua pemegang lesen GDL, PSV E-Hailing untuk menjalani pemeriksaaan kesihatan termasuk ujian u-rine dan darah samaada untuk memohon lesen PSV, GDL yang  baru atau memperbaharui  lesen bermula Oktober lalu yang dilihat amat tidak mampu diterima oleh pemandu-pemandu lori yang akhirnya menyebabkan mogok.

“Jadi tidak betullah kalau kata ada pihak-pihak tertentu yang membuat provokasi sehingga mogok dan sebagainya. Sebenarnya mereka amat terkesan daripada peraturan yang diperkenalkan ini. Kalau mereka didapati ada penyakit-penyakit tertentu, maka mereka tidak boleh memperbaharui lesen PSV mereka selama tiga bulan. Jadi apa yang mereka perlu buat selama tiga bulan berkenaan. Untuk menyara keluarga dan sebagainya,” tambahnya.

Tambahnya lagi walaupun tujuannya baik, namun pertimbangan utama sewajarnya kepada kebajikan golongan terabbit.

“Jadi saya cadangkan kepada Yang berhormat, kalau kita fokus kepada pengambilan dadah kita setuju sebab banyak isu yang melibatkan pengaruh dadah dan sebagainya. Tetapi kalau penyakit, ada pesakit ada kencing manis ke dan sebagainya, saya harap perkara ini tidak dijadikan alasan oleh pihak JPJ  untuk tidak membenarkan mereka memperbaharui lesen PSV dan sebagainya.

“Harap nasib pemandu lori  ini kita berikan keutamaan walaupun tujuan yang berhormat itu baik, tetapi nasib dan kebajikan pemandu-pemandu lori  ini perlu diberikan perhatian,” katanya.-UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.