Pantun ‘Kerajaan Menipu’ Cetus Kekecohan Di Dewan Rakyat

 

KUALA LUMPUR, 19 Nov – ‘Kerajaan menipu’ mencetuskan sedikit kekecohan di Dewan Rakyat hari ini apabila Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Jalaluddin Alias mengungkapkan pantun ketika mencelah pada sesi perbahasan oleh  Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan.

“Saya nak tanya pandangan Pontian, dulu kalau tidak silap sayalah pernah dengar janji kerajaan ini. Kamera AES ini dahulunya kita buat 10 sahaja… tetapi apabila nak ambil kerajaan mereka kata akan kurangkan namun sekarang bertambah. Adakah ini kerajaan menipu. Saya nak bagi pantunlah….

Satu pelita dua sumbu,
Mana api boleh tahan;
Kerajaan PH asyik menipu,
Mana rakyat boleh tahan.”

Ahli Parlimen Jelutong, Rsn Rayer kemudiannya mencelah dan mengatakan syok sendiri dan kemudiannya Ahmad meneruskan perbahasannya dengan menambah salam 15,000.

“Saya sokong apa yang disebutkan oleh Jelebu tadi. Memang menipu ini sudah menjadi perkara biasa. Berkata tidak benar sudah perkara biasa. Tidak menunaikan janji-janji ini perkara biasa,” ujarnya.

Ahli Parlimen Jelutong terus menganggu dan kemudiannya Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kasim bangun  mengingatkan peraturan dewan bahawa seseorang ahli parlimen berbahas ianya tidak boleh diganggu dan kemudiannya ditenteramkan oleh Speaker Dewan Rakyat.

Terdahulu sebelum itu, Ahmad membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2020 peringkat jawatankuasa Kementerian Pengangkutan Peringkat Jawatankuasa di Dewan Rakyat, di sini, hari ni.

Dalam perbahasannya Ahmad meminta kerajaan memberikan butiran dan bukti faedah penambahan kepada pemasangan kamera Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS).
<“Penyelenggaraan sistem AWAS… berapa yang sudah kena saman dan saya nak tahu juga apakah bukti bahawa lagi banyak kamera AWAS ini lagi kurang kejadian  kemalangan. Boleh YB Menteri tunjukkan bukti kalau tidak apa faedah untuk kita tambah kamera sedangkan dahulunya ada seorang YB di sini sekarang dah timbalan menteri menentang tentang AES ini…

“Tidak adalah sampai berguling-guling tetapi lebih kurang begitulah  membantah sistem ini… tetapi sekarang ini bukan berkurang tetapi diperbanyakkan lagi kameranya. Saya ingin bukti lagi banyak  kamera lagi turun kemalangan dari segi data-data yang sahih,” ujarnya lagi – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.